Kredit Gambar: OCM Malaysia

Senarai acara bagi Sukan SEA 2027 dimuktamadkan dengan 43 jenis sukan dan 473 acara dipersetujui, sekali gus menutup ruang untuk sebarang penambahan baharu menjelang temasya dwitahunan itu.

Keputusan berkenaan dicapai sebulat suara dalam mesyuarat dalam talian ketiga jawatankuasa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang turut disertai presiden serta wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dari seluruh rantau ini.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata keputusan itu dibuat bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dengan mengambil kira kekangan masa serta kalendar sukan antarabangsa yang semakin hampir.

“Semua negara bersetuju dengan 43 sukan dan 473 acara yang diputuskan hari ini. Senarai ini muktamad dan tiada lagi sukan boleh ditambah kerana masa semakin suntuk,” katanya selepas mesyuarat berkenaan.

Menurut Nur Azmi, semua negara anggota menerima senarai yang dipersetujui tanpa sebarang bantahan, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada persiapan menjelang penganjuran temasya itu.

Antara perkembangan terbaharu ialah kemasukan sukan padel dan dancesport selepas kedua-duanya dipertimbangkan menerusi proses rayuan bagi lima jenis sukan yang diteliti sejak Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Abdul Rashid Yaakub, menjelaskan persiapan bagi kedua-dua sukan itu sudah dimulakan lebih awal dan bukannya dibuat pada saat akhir. Sarawak akan menjadi lokasi pertandingan dancesport, manakala padel dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Abdul Rashid turut memaklumkan kira-kira enam negara sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai acara padel, melepasi syarat minimum penyertaan empat negara bagi membolehkan pertandingan itu berlangsung.

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Azmi berkata kemudahan pertandingan di Sarawak dan Kuala Lumpur berada pada peringkat akhir persiapan serta bersedia untuk menjalani pemeriksaan teknikal oleh persatuan sukan masing-masing.

“Kemudahan kita sudah bersedia, khususnya di Sarawak yang memulakan persiapan lebih awal. Semua persiapan di Kuala Lumpur juga sudah selesai,” katanya sambil menjelaskan pihak penganjur kini menunggu lawatan teknikal sebelum laporan lengkap diserahkan kepada MASOC.

Beliau menegaskan senarai 43 sukan dan 473 acara itu khusus untuk Sukan SEA 2027, manakala maklumat mengenai penganjuran Sukan Para ASEAN 2027 akan diumumkan secara berasingan.