HAMPIR 1,000 peserta seni mempertahankan diri berkumpul di Seksyen 19, Shah Alam sempena Kejohanan Kesenian & Kebudayaan Seni Bela Diri Taekwondo Antara Sekolah-Sekolah (Peringkat Kebangsaan) pada Sabtu.

Uniknya, acara ini mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia merangkap penganjur kejohanan, Master S. Edwin, menyatakan bahawa pertandingan ini melibatkan pelajar sekolah berusia antara enam hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia.

“Taekwondo bukan sekadar sukan, tetapi sebuah seni mempertahankan diri dan warisan kebudayaan Korea. Di Malaysia, ia menjadi pilihan popular dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. Selain membina disiplin dan ketangkasan, taekwondo juga menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Peserta mendengar penuh tekun taklimat daripada jurulatih.

Kejohanan kali ini memperkenalkan acara baharu, Speed Kick, yang mempamerkan teknik tendangan laju. Acara ini mendapat sambutan hangat, khususnya daripada ibu bapa yang teruja menyaksikan kreativiti dan kepantasan anak-anak mereka.

“Taekwondo turut memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara penggiat seni bela diri dan memupuk perpaduan kaum,” tambah Master Edwin.

Beliau menekankan kejohanan ini membuka peluang kepada pelajar untuk beraksi di peringkat kebangsaan, sekali gus meningkatkan rasa bangga dan keyakinan diri mereka. Selain itu, penyertaan ini memberikan markah tambahan untuk Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK).

Pemenang bergambar kenangan di pentas utama.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat DUN Batu Tiga, Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Master Edwin menzahirkan penghargaan kepada pihak kementerian atas usaha menyokong program seperti ini, yang menjadi platform penting untuk kelangsungan seni bela diri taekwondo di sekolah.

Mungkin masa depan peserta cilik ini akan wakili Malaysia. Siapa tahu.

“Dengan sokongan berterusan, saya yakin taekwondo akan terus berkembang sebagai sukan dan seni bela diri yang memperkukuh disiplin, perpaduan, dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar Malaysia,” katanya.

Keputusan Kejohanan

Kategori Sekolah Rendah

  • Juara: SK Bukit Rimau
  • Naib Johan: SK Bukit Tinggi, Klang
  • Tempat Ketiga: SJKT Simpang Lima, Klang

Kategori Kelab

  • Juara: Kelab Taekwondo Pro Sport
  • Naib Johan: Kelab Taekwondo Firdaus Fighter (Melaka)
  • Tempat Ketiga: Kelab Taekwondo MTH (Johor)