Kredit Gambar: Michal Cizek/AFP
Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, membuka peluang untuk mencabar kedudukan podium Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 selepas mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan kelas Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu merekodkan masa 2 minit 10.520 saat (s) untuk mengesahkan tempat di barisan hadapan grid bagi perlumbaan esok.
Catatan berkenaan menyaksikan Hakim Danish hanya ketinggalan 0.133s di belakang pelumba Sepanyol, Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, yang meraih petak utama dengan masa 2:10.39s.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo, melengkapkan kelompok tiga terbaik apabila mencatat masa 2:10.48s untuk menduduki tempat kedua.
Berkongsi pandangan mengenai pencapaiannya, Hakim Danish menyifatkan kedudukan di barisan hadapan sebagai satu perkembangan positif dalam usahanya memburu keputusan membanggakan di laman sendiri.
“Syukur Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat memperoleh P3 dalam sesi kelayakan tadi. Bagi saya, sesi kelayakan bukan mudah tetapi saya bekerja keras dan setiap pusingan saya cuba memberikan yang terbaik untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, pelumba berusia 19 tahun itu mengakui masih terdapat beberapa aspek tunggangan yang perlu diperbaiki sebelum perlumbaan sebenar berlangsung.
“Sudah tentu, memulakan perlumbaan dari barisan hadapan esok sangat penting untuk memastikan saya dapat berada dalam kelompok hadapan dan bersaing dengan pelumba-pelumba pantas hingga tamat perlumbaan,” katanya.
Hakim Danish turut mengenal pasti sektor pertama dan ketiga sebagai bahagian yang perlu diberikan perhatian bagi meningkatkan prestasinya.
“Saya rasa sektor satu dan tiga masih perlu diperbaiki sedikit. Untuk esok, saya akan cuba meningkatkan prestasi di bahagian itu,” katanya.
Mengakui pada awalnya berasa sedikit risau untuk beraksi di laman sendiri, pelumba negara itu bagaimanapun kekal positif dan bertekad memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong tempatan.
Dalam sesi kelayakan pertama (Q1), pelumba Sepanyol, Angel Cruces daripada CIP Green Power, mencatat masa terpantas 2:11.414s. Pelumba Itali, Guido Pini daripada Leopard Racing, berada di tempat kedua dengan 2:11.614s, manakala Ryusei Yamanaka dari Jepun melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan 2:11.665s.