PELUMBA sensasi negara, Hakim Danish Ramli bakal membawa cabaran Malaysia dalam saingan Kejohanan Dunia Moto3 (MotoGP) musim depan selepas disahkan akan beraksi sepenuh musim bersama pasukan MT Helmets-MSi.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif memaklumkan tempat Hakim dalam pasukan itu sudah terjamin, namun tajaan masih dalam proses perbincangan melibatkan beberapa pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita tetap akan push walaupun belum ada penaja. Insya-Allah, tempat Hakim dalam pasukan MT Helmets sudah ada. Kami juga sedang cari ruang libatkan pihak swasta untuk bantu,” katanya, pada majlis menandatangani MoU antara SIC dan AEON Credit Service Malaysia, semalam.
Hakim, 17, dari Terengganu mencuri perhatian di Eropah apabila muncul juara di Aragon dalam saingan Red Bull Rookies Cup 2024, sekali gus mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menang di kejohanan berprestij itu. Dia juga cemerlang menaiki podium di Jerez dan Perancis, membuktikan dia bukan calang-calang pelumba.

Namun Azhan mengingatkan, tempat di Moto3 bukan tiket percuma. Pelumba muda itu masih perlu buktikan prestasi meyakinkan di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup musim ini dengan sasaran utama menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.
“Kadang-kadang bila peluang dah ada depan mata tapi prestasi tak menyinar, tak adil untuk pelumba lain. Tapi setakat ini, Hakim pilihan utama kami,” katanya lagi sambil menyatakan musim ini sangat penting buat pelumba remaja itu.

Penyertaan Hakim dalam Moto3 2025 bakal mengakhiri penantian peminat sukan permotoran tanah air sejak kali terakhir Malaysia diwakili Syarifuddin Azman dalam kelas sama pada musim 2023. Kejayaan ini bukan saja mengangkat nama negara, malah meniup semangat baharu kepada pelumba muda tempatan untuk ikut jejak langkahnya.