Juara bertahan STL Premier, Perak Bison merangkul kejuaraan Grand Prix (GP) kedua STL Premier 2026 selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-0 pada aksi final GP Penang.

Perak Bison mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan lawan menerusi kemenangan 17-15, 15-9 sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas kepada Negeri Sembilan dalam dua pertemuan terdahulu.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Perak Bison yang sebelum ini terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada Negeri Sembilan pada aksi Perlawanan Sumbangsih sebelum sekali lagi tewas dengan keputusan sama dalam peringkat kumpulan GP Perak minggu lalu.

Bagaimanapun, Perak Bison bangkit pada pentas final GP Penang untuk memastikan mereka berjaya menamatkan saingan sebagai juara, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam persaingan STL Premier musim ini.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Perak Bison mengumpul 47 mata dalam carta keseluruhan liga untuk berada di tangga kedua, berkongsi jumlah mata yang sama dengan pendahulu, PDRM Defenders.

PDRM Defenders sebelum ini muncul juara GP Perak, namun kempen mereka di GP Penang berakhir pada peringkat suku akhir.

Keputusan itu membuka peluang buat Perak Bison untuk terus memberikan tekanan kepada PDRM Defenders dalam perebutan kedudukan teratas liga ketika saingan STL Premier 2026 semakin sengit.