Ketua jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan mengakui keputusan 0-2 kepada Palestin sukar diterima, apatah lagi skuad kendaliannya gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027.
Kekalahan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan Harimau Malaya gagal memperoleh permulaan positif dalam kempen Kumpulan E, sekali gus meletakkan tekanan tambahan menjelang pertemuan seterusnya menentang Singapura.
Shukor berkata, pasukannya sebenarnya sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk merobek benteng pertahanan Palestin, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
“Daripada segi keputusan, perit untuk kita terima. Kita tewas 2-0 kepada Palestin. Perancangan awal adalah untuk kita pecahkan struktur permainan pasukan lawan.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, cuma dari sudut barisan kejurulatihan, kita beraksi di laman sendiri dan memiliki peluang yang jelas untuk menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Pengendali berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak mahu anak buahnya terus dibelenggu kekecewaan, sebaliknya mahu mereka segera mengalihkan perhatian kepada baki perlawanan kumpulan.
Menurutnya, tempoh rehat sebelum aksi kedua perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti, selain mengembalikan keyakinan pemain selepas keputusan mengecewakan itu.
“Tiada apa yang melegakan dalam kejohanan seperti ini (rehat panjang menjelang aksi kedua) kerana kita tewas aksi ini.
“Apa yang penting adalah bagaimana kita ingin memotivasikan para pemain untuk kembali bangkit sebab mereka pun percaya pada perlawanan ini, para pemain sepatutnya memperoleh tiga mata tetapi keputusan sebaliknya,” katanya.
Malaysia selepas ini dijadualkan menentang Singapura pada 14 November sebelum bertemu Guam pada 17 November dan India pada 20 November. Ketiga-tiga perlawanan itu akan berlangsung di venue sama dengan sepak mula pada jam 9 malam.
Kekalahan kepada Palestin bermakna skuad muda negara perlu segera mencari kemenangan bagi menghidupkan peluang memburu tiket ke pusingan akhir kejohanan.
Untuk rekod, hanya tujuh juara kumpulan daripada Kumpulan A hingga G akan memperoleh slot kelayakan ke Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan pada Mei tahun depan.
Mereka akan menyertai sembilan pasukan yang sudah layak secara automatik, termasuk tuan rumah Uzbekistan dan Qatar serta tujuh pasukan terbaik edisi 2026 iaitu Jepun, China, Australia, Republik Korea, Arab Saudi, Tajikistan dan Vietnam.