Kredit Gambar: Jade Gao/AFP

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun semakin hampir menambah koleksi kejuaraan musim ini apabila menempah tiket ke final Terbuka Hong Kong selepas menyingkirkan pasangan pilihan dari India, hari ini.

Gandingan ranking kesembilan dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang menghuni ranking keenam dunia, menerusi kemenangan 21-18, 21-19 pada aksi separuh akhir di Arena Kai Tak.

Kemenangan itu turut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mencatat kejayaan kedua dalam enam pertemuan dengan pasangan India berkenaan, sekali gus menghidupkan peluang untuk meraih gelaran Jelajah Dunia kedua mereka tahun ini.

Sebelum ini, pasangan negara berkenaan mencipta kejayaan di pentas Super 750 apabila menjuarai Terbuka Perancis di Paris bulan lalu, dan kini berpeluang meneruskan momentum tersebut di Hong Kong.

Bagaimanapun, cabaran terakhir menanti mereka apabila bakal berdepan juara Sukan Asia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, pada aksi final kejohanan Super 500 esok.

Dalam perkembangan berasingan, kemaraan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Terbuka Hong Kong terhenti di separuh akhir selepas sekali lagi gagal mengatasi pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Soon Huat-Shevon tewas 17-21, 18-21 kepada gandingan China itu dalam aksi di Arena Kai Tak, sekali gus melanjutkan rekod kekalahan mereka kepada tujuh pertemuan berturut-turut dengan lawan berkenaan.

Kegagalan melangkah ke final turut menyaksikan pasangan ranking ke-12 dunia itu terlepas peluang untuk layak ke kejohanan akhir Jelajah Dunia di Hangzhou bulan depan.

Wei Chong-Kai Wun kini menjadi sandaran terakhir Malaysia untuk memburu kejuaraan di Hong Kong, dengan perhatian tertumpu kepada aksi final esok bagi menentukan sama ada mereka mampu menutup kempen dengan satu lagi gelaran berprestij.