JIKA menang lebih baik, itulah luahan jujur Leong Jun Hao selepas kandas penuh drama di tangan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris.

Perseorangan lelaki negara itu bertarung hampir satu setengah jam di Porte de La Chapelle sebelum tunduk 21-17, 13-21, 23-25 dalam aksi mendebarkan yang berlangsung selama 89 minit.

Jun Hao mengakui dirinya kecewa kerana gagal memanfaatkan peluang meskipun sudah berada di depan pada awal set penentuan.

“Saya agak kecewa sebab di set ketiga saya sudah mendahului tetapi kemudian ketinggalan sehingga terpaksa ke mata penentuan dan akhirnya tak berjaya,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Meskipun tersingkir, pemain berusia 25 tahun itu tetap berbangga dengan semangat juangnya apabila berjaya menyelamatkan tiga mata akhir sebelum Nishimoto mengesahkan kemenangan.

“Waktu itu saya cuma fikir cuba apa sahaja yang saya ada, berikan segalanya dan lebih berani bermain di mata-mata terakhir,” katanya.

Jun Hao turut menegaskan dirinya semakin matang sejak dibimbing jurulatih Kenneth Jonassen, terutama dari segi kesabaran dan ketenangan mengatur pukulan dalam aksi penting.

“Memang saya gembira dengan apa yang ditunjukkan hari ini, tapi di hujungnya mungkin masih belum cukup… ya, kalau menang lebih baik,” ujarnya dengan nada kecewa namun penuh realistik dengan pengalaman pertama di pentas sebesar itu.