PDRM Defenders dan Perak Bison bakal menentukan juara Grand Prix (GP) Kuala Lumpur malam ini selepas kedua-dua pasukan mengesahkan kemaraan ke final menerusi kemenangan di separuh akhir.
PDRM Defenders terlebih dahulu meraih tiket final selepas menundukkan Melaka Titans 2-1 dalam aksi penuh sengit, meskipun terpaksa bermain sehingga tiga set.
Skuad PDRM memulakan perlawanan dengan kemenangan 15-10 pada set pertama, namun Melaka Titans bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menang 17-15 pada set kedua.
Bagaimanapun, PDRM Defenders kembali memperkemaskan permainan pada set ketiga apabila tampil dominan untuk menang 15-6, sekali gus memastikan tempat ke final GP KL.

Sementara itu, Perak Bison menepati ramalan apabila menyingkirkan Kelantan Warriors menerusi kemenangan straight set 2-0 untuk turut mengesahkan slot ke perlawanan akhir.
Perak Bison mempamerkan aksi meyakinkan dengan kemenangan 15-13 pada set pertama sebelum melengkapkan tugas menerusi penguasaan lebih ketara pada set kedua, 15-5.
Pertemuan final malam ini turut menjanjikan pertembungan antara dua pasukan terbaik dalam carta keseluruhan STL Premier 2026, dengan PDRM Defenders dan Perak Bison bakal menguji kekuatan masing-masing untuk merebut kejuaraan GP KL.
PDRM Defenders hadir dengan status juara GP 1 di Perak, manakala Perak Bison pula pernah menjulang gelaran GP 2 di Pulau Pinang selain menamatkan GP 3 di Melaka sebagai naib juara.
Aksi final dijadual berlangsung pada jam 9.30 malam, manakala perebutan tempat ketiga dan keempat antara Melaka Titans dengan Kelantan Warriors akan membuka tirai pada jam 8 malam.