PASUKAN Ragbi Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) terus melakar kejayaan sejak penubuhan sekolah ini pada tahun 1984.
Pasukan ragbi SEMESTI kini dibimbing oleh Cikgu Ismail Ali Mohamed Alipiah yang bertindak sebagai ketua jurulatih.
Beliau turut dibantu oleh Khoo Phau Tzen selaku pengurus pasukan, Ahmad Hazim Muhamad sebagai penolong pengurus, dan Muhamad Farith Nasrin Nasaruddin yang bertanggungjawab sebagai jurulatih.
Gabungan tenaga kerja ini memainkan peranan penting dalam memastikan pasukan ragbi SEMESTI mencapai prestasi cemerlang di pelbagai peringkat kejohanan.
Melihat kepada pencapaian pasukan yang telah beberapa kali mengharumkan nama SEMESTI di arena ragbi, pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil inisiatif untuk melancarkan Projek Dana Ragbi SEMESTI.

Keadaan latihan pelajar tanpa gimnasium dan peralatan. Hanya berlatih di pondok
“Projek ini bertujuan mengukuhkan lagi pembangunan pasukan ragbi dengan penyediaan fasiliti yang lebih baik dan peralatan latihan yang moden.
“Ketika ini, gimnasium sedia ada yang terletak bertentangan dengan padang ragbi sekolah hanya berbentuk pondok kecil yang digunakan untuk menyimpan peralatan asas. Malangnya, peralatan ini terdedah kepada cuaca dan karat, selain ketiadaan tempat simpanan yang sesuai.
“Pembinaan gimnasium baharu di bawah projek ini diharapkan dapat memberikan prasarana yang lebih lengkap, selamat, dan kondusif untuk kegunaan pelajar SEMESTI, khususnya pasukan ragbi,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.
Menurut Ismail Ali, projek Dana Ragbi SEMESTI dirangka dengan beberapa objektif utama untuk memastikan pembangunan sukan ragbi sekolah mencapai tahap cemerlang.

Cikgu Ismail Ali (duduk) bersama pemain-pemain ragbi SEMESTI
“Projek ini bertujuan membantu pemain mempamerkan bakat, kemahiran, dan kebolehan mereka di pelbagai peringkat kejohanan, sekali gus meningkatkan mutu pasukan ragbi SEMESTI.
“Dana ini juga akan digunakan untuk membina fasiliti moden yang bukan sahaja memberikan keselesaan tetapi juga memastikan keselamatan pemain semasa sesi latihan dan kejohanan.
“Selain itu, projek ini akan memberi penekanan kepada pembentukan pemain yang berdisiplin, bertanggungjawab, dan mempunyai daya saing tinggi, sejajar dengan aspirasi untuk melahirkan atlet berkualiti.
“Malah, salah satu matlamat utama projek ini adalah memastikan SEMESTI layak dan mampu bersaing dalam kejohanan berprestij peringkat sekolah di Malaysia, iaitu Super School Rugby (SSR) 2025,” katanya lagi.

Pasukan Ragbi SEMESTI
Jelas Ismail Ali, untuk menjayakan projek ini, anggaran kos sebanyak RM232,840 diperlukan bagi tempoh tiga tahun.
“Dana ini akan digunakan untuk membina gimnasium baharu, menampung kos pengurusan pasukan dan menggantikan peralatan latihan lama yang sudah usang.
“Pihak sekolah dan PIBG amat berharap projek ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk dermawan, ibu bapa, serta Alumni SEMESTI (ASTI),” ujarnya.
Menurut beliau, pembinaan gimnasium baharu ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan mutu latihan pasukan, tetapi juga memberi manfaat kepada aktiviti sukan lain di sekolah.
“Kita mahu memberikan pengalaman terbaik kepada pelajar SEMESTI, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga dalam bidang sukan.
“Dengan adanya gimnasium yang lengkap dan moden, kita dapat memastikan keselamatan serta keselesaan para pemain.
“Ayuh, bantu kami realisasikan impian ini demi masa depan pelajar SEMESTI yang lebih gemilang,” katanya.

REKOD PRESTASI 2024
Kejohanan Ragbi SBP 10s B14
Johan Plate
Kejohanan Ragbi 15’s MSSD Bagan Datuk B16
Johan Cup
21 pelajar terpilih mewakili Bagan Datuk ke MSSPk (Johan Plate)
Seorang pelajar terpilih mewakili Perak ke MSSM
Kejohanan Ragbi Jemputan SMK Anderson 10’s
B16 – Tempat ke-3 Cup
B15 – Johan Shield
KEJOHANAN RAGBI NRDP 7’S ZON TENGAH
B16: Tempat ke-5
(Dua pelajar terpilih ke kejohanan Bunga Raya 7’s)
B14: Tempat ke-4
Kejohanan Ragbi Jemputan SMK Telok Datuk 10s B14
Johan Bowl
REKOD PRESTASI 2023
Kejohanan Ragbi 10’s B14 MSSM 2022
Separuh akhir Plate
Jakarta 10’s 2023
Naib Johan Cup
Kejohanan Ragbi 15’s MSSD Bagan Datuk B18
Johan Cup
Kejohanan Ragbi 15’s MSSPk B18
20 Pemain mewakili Bagan Datuk ke MSSPK
Johan Plate
Kejohanan Ragbi UTP Super Championship
B17: Tempat ke-3 Cup
B15: Penyertaan
Kejohanan Ragbi Shah Alam 7’s
B16: Johan Plate
B14: Johan Bowl
Kejohanan Ragbi SBP 7’s
Tempat ke-4 Cup
KEJOHANAN RAGBI NRDP 7’S ZON TENGAH
B16: Tempat ke-3 Cup (4 pelajar mewakili Perak ke Bunga Raya 7’s)
B14: Tempat ke-5
Kejohanan Ragbi 15’s jemputan SMK King Edward VII
B14: Penyertaan
Kejohanan Ragbi MCRU X B15
Penyertaan
Kejohanan Ragbi 10’s MSSD Bagan Datuk
B15: Johan Cup
Kejohanan Ragbi 10’s MSSPk B15
Tempat ke-4 Cup
Kejohanan Ragbi 10’s CB Sabak Bernam
B16: Tempat ke- 3 Cup
B14: Johan Bowl