Kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC menjadi suntikan semangat buat Kelantan Red Warrior FC untuk meneruskan momentum positif menjelang aksi menentang DPMM FC malam ini selepas menamatkan kemarau 6 perlawanan tanpa kemenangan.

Memasuki aksi ketujuh Liga Super minggu lalu, skuad kendalian Irfan Bakti ini akhirnya meraih kemenangan sulung mereka menewaskan Sabah FC di laman sendiri.

Penyerang KRW FC, Emmanuel Mbarga menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kematangan pasukan yang semakin meningkat, khususnya dalam mengendalikan perlawanan sukar selepas mengharungi beberapa keputusan mengecewakan dalam saingan liga.

Mbarga yang muncul wira menerusi jaringan kemenangan mengakui cukup gembira apabila sumbangannya berjaya membantu pasukan sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha kolektif seluruh pemain di atas padang.

“Jaringan kemenangan itu memberikan perasaan yang sangat luar biasa dan saya cukup gembira kerana gol tersebut membantu pasukan meraih tiga mata pertama. Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan sepasukan yang mencipta bantuan jaringan itu”, jelasnya.

Bagaimanapun, pemain import dari Cameroon itu sedar cabaran menentang DPMM FC esok bukan sesuatu yang mudah, namun berharap dia dan rakan sepasukan mampu melakukan sesuatu untuk memberi tentangan memandangkan skuad dari Brunei Darussalam itu semakin garang selepas meraih 4 kemenangan berturut-turut setakat ini.

“Kami tahu perlawanan seterusnya akan menjadi sukar. Saya berharap semua pemain mempunyai keberanian dan semangat yang tinggi. Sekurang-kurangnya kami mahu membawa pulang satu mata, tetapi jika mampu mendapatkan kemenangan, itu lebih baik.

“Kami akan terus bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik untuk memastikan pasukan dapat terus mencatat kemenangan,” katanya.