Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor mahu barisan kepimpinan baharu persatuan itu memperkukuh hubungan dengan kelab ahli gabungan serta memperluas pembangunan golf di peringkat akar umbi bagi penggal 2026-2028.

Anwar berkata, pendekatan lebih inklusif perlu diberikan perhatian supaya setiap kelab, termasuk di Sabah dan Sarawak, mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam menentukan hala tuju pembangunan sukan berkenaan.

Menurutnya, komunikasi yang lebih berkesan dengan kelab ahli gabungan penting bagi memastikan MGA bergerak sebagai sebuah badan induk yang mewakili kepentingan komuniti golf di seluruh negara.

“Harapan saya, kita harus bekerja kuat, terutama dari segi komunikasi dengan kelab ahli gabungan.

“Kedua, kita perlu membangunkan golf di peringkat junior. Kita sudah memilih 25 pemain elit junior kebangsaan dan saya mahu usaha mencungkil bakat di kelab-kelab serta mengadakan lebih banyak klinik junior dipertingkatkan,” katanya pada sidang media pengumuman calon kepimpinan MGA bagi penggal 2026-2028, semalam.

Beliau turut menegaskan pembangunan pemain muda perlu diperkasakan kerana mereka merupakan kelompok yang bakal mengisi barisan pelapis negara pada masa depan. Pendedahan menerusi kejohanan peringkat ASEAN dan Asia juga perlu diperluas bagi meningkatkan pengalaman serta tahap persaingan pemain.

MGA sebelum ini sudah melaksanakan Klinik Junior Kebangsaan di Sabah dan Sarawak, selain melihat perkembangan positif apabila semakin ramai pemain muda negara mendapat peluang menyertai pertandingan di luar negara.

Dalam masa sama, persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuching, Sarawak turut menjadi antara fokus utama Anwar sekiranya beliau diberi mandat untuk menerajui persatuan itu bagi penggal seterusnya.

Katanya, perancangan fasa kedua sedang disusun bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), termasuk mengenal pasti pemain berpotensi serta memastikan mereka berada pada tahap persediaan terbaik menjelang temasya berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran dalam membentuk skuad terbaik, antaranya melibatkan pemain negara yang sedang melanjutkan pengajian di kolej dan universiti di Amerika Syarikat, selain pemain amatur yang memilih untuk beralih ke arena profesional.

Justeru, MGA akan menilai senarai panjang pemain berpotensi sebelum memuktamadkan senarai pendek sekitar Jun 2027 berdasarkan prestasi dan konsistensi masing-masing.

Pemilihan kepimpinan baharu persatuan itu pula dijadual berlangsung pada 5 Disember ini sempena Mesyuarat Agung Dua Tahunan (BGM), dengan Anwar turut memperkenalkan calon bagi beberapa jawatan termasuk dua muka baharu untuk posisi naib presiden, iaitu Datuk Seri Izudin Ishak dan Larry Koh.