Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pelantikan Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya, sekali gus membuka lembaran baharu buat pengendali berpengalaman itu dalam arena bola sepak negara.
Jurulatih berusia 55 tahun kelahiran Zagreb, Croatia itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya di Asia Tenggara serta rekod kejayaan bersama beberapa kelab dan pasukan kebangsaan sepanjang karier kejurulatihannya.
Bojan bukan nama asing dalam bola sepak tempatan apabila pernah membimbing UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019.
Antara pencapaian paling menonjolnya di Malaysia adalah ketika membimbing Kelantan merangkul tiga kejuaraan utama pada 2012, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Beliau turut membantu JDT muncul juara Liga Super pada 2014 sebelum mencipta kejayaan bersama Kuala Lumpur City FC menerusi kejuaraan Piala Malaysia 2021 dan penampilan di final Piala AFC 2022.
Di peringkat antarabangsa, Bojan turut membuktikan kemampuannya apabila membawa skuad Malaysia Bawah 19 Tahun menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia. Pengalamannya turut merangkumi tugasan bersama Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Tugas terbaharunya sebelum dilantik ke jawatan itu adalah bersama kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung, yang menyaksikan beliau berjaya meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh bersama pasukan berkenaan.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan melantik Bojan dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta pencapaian yang dimilikinya, selain kelebihan memahami persekitaran bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara. Beliau percaya latar belakang pengendali itu mampu membantu membentuk pasukan kebangsaan yang lebih kompetitif.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.