SEPAK takraw mempunyai potensi besar untuk berkembang melangkaui identitinya sebagai sukan tradisi negara, malah mampu menjadi sebuah industri sukan profesional yang menawarkan nilai komersial serta peluang perniagaan lebih luas.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, Malaysia memiliki asas kukuh untuk merealisasikan potensi itu menerusi sejarah sukan berkenaan, bakat pemain tempatan, keunikan permainan dan sokongan peminat yang terus berkembang.

Menurutnya, perjalanan Sepak Takraw League (STL) yang kini memasuki musim ke-12 menjadi antara bukti bagaimana sukan tradisi boleh dibentuk sebagai produk profesional menerusi penyiaran, pemasaran, penajaan dan penglibatan penyokong.

Beliau berkata, STL bukan sekadar kejohanan tahunan, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai sebuah hak intelek sukan atau sports intellectual property (IP) yang mempunyai identiti, struktur dan nilai komersial tersendiri.

Bagi musim 2026, STL menampilkan 12 pasukan yang bersaing dalam tujuh siri Grand Prix, selain diperkuatkan pemain import dari Thailand, Filipina dan Jepun bagi meningkatkan daya saing pertandingan.

Antara penyokong yang hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan sepak takraw kesayangan mereka.

“Penyiaran bukan sekadar membawa perlawanan kepada penonton, tetapi merupakan aset penting dalam membina jenama dan nilai komersial sesebuah sukan.

“Kualiti produksi, sudut kamera, grafik, ulasan dan penceritaan membantu menjadikan pertandingan lebih menarik,” katanya.

Nicholas berkata, Astro turut memperluaskan capaian STL ke pasaran antarabangsa menerusi beberapa platform penyiaran. Pada 2021, liga itu memasuki pasaran Amerika Syarikat melalui All Sports Television Network sebelum capaian ke beberapa negara Asia diperluas menerusi ELEVEN pada 2022.

Usaha berkenaan diteruskan bagi musim 2026 menerusi SPOTV NOW yang membolehkan peminat di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Macau mengikuti aksi STL secara langsung. Dari sudut penglibatan penonton pula, kehadiran di gelanggang meningkat 24 peratus, manakala kandungan digital liga itu menjana lebih 200 juta tontonan.

Dari aspek komersial, STL turut membuka ruang kepada jenama tempatan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem liga. CelcomDigi meneruskan peranan sebagai penaja utama musim ini, manakala Kotaqu dan Mekar Saujana masing-masing terlibat sebagai Rakan Pakaian Rasmi dan Rakan Barangan Rasmi.

Nicholas menjelaskan potensi perniagaan tidak terhad kepada penajaan utama atau hak penyiaran sahaja, sebaliknya turut melibatkan kerjasama dengan pasukan, jualan tiket, barangan rasmi, kandungan digital serta peluang kepada perniagaan setempat ketika penganjuran siri Grand Prix.

Beliau percaya masa depan komersial sepak takraw bergantung kepada kemampuan semua pihak membina penyokong setia, meningkatkan profesionalisme pengurusan liga dan pasukan serta mempelbagaikan sumber pendapatan agar pertumbuhan industri itu dapat dinikmati pemain, penaja, syarikat tempatan dan komuniti sukan.