PASUKAN Malaysia berbangga apabila berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Asia Baseball5 pertama yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel Berjaya Times Square bermula 17 hingga 19 Ogos.
Sembilan negara Asia Malaysia, Hong Kong, Korea Selatan, Jepun, Pakistan, Filipina, Thailand, Singapura dan Chinese Taipei mengambil bahagian dalam kejohanan sulung ini yang turut bertindak sebagai kelayakan ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico pada November 2022.
Presiden Softball Asia, Datuk Low Beng Choo berkata ,dia sangat berbangga kerana akhirnya kejohanan sukan disiplin baharu ini dapat dianjurkan selepas dunia berhadapan penularan pandemik Covid-19.

Low Beng Choo
Beliau juga berharap agar kejohanan ini mampu menjadi medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan ini selain menggalakkan cara hidup sihat dikalangan rakyat Malaysia.
“Saya gembira kerana akhirnya kami berjaya menganjurkan kejohanan ini selepas dunia terutama Asia mengalami kekangan ekoran penularan pandemik Covid-19. Ini sangat penting kerana kejohanan ini adalah juga pusingan kelayakan ke Piala Dunia di Mexico.
“Kami juga berharap agar kejohanan ini dapat menjadi pemangkin untuk menghasilkan lebih ramai atlet dalam disiplin sukan ini kerana ianya boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja serta menggalakkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kejayaan acara Baseball dan Softball di Temasya Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu menjadi inspirasi buat Persatuan Softball Asia untuk menganjurkan kejohanan ini dalam keadaan yang baik dan keselamatan atlet juga terkawal.
Baseball5 adalah disiplin baharu sukan Baseball-Softball yang hanya memerlukan sebiji bola sahaja dengan lima pemain yang boleh dimainkan di pelbagai permukaan bersaiz 1800cm x 2100cm.
Tiga pasukan teratas akan layak ke Piala Dunia menyertai Mexico sebagai tuan rumah serta Afrika Selatan, Kenya, Perancis dan Lithuania yang telah layak menerusi kelayakan peringkat benua masing-masing.