KEJAYAAN atlet boling negara Natasha Roslan muncul juara dunia pada Kejohanan Dunia dan Piala Dunia menjadikannya pemain boling Malaysia pertama, tanpa mengira jantina yang mencipta kejuaraan berganda di kejohanan tertinggi itu.
Kemampuan luar biasanya gadis berusia 27 tahun itu membuka mata banyak pihak sehingga bakal dicatatkan dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai atlet wanita pertama yang memenangi Piala Dunia IBF.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok yang memaklumkan bahawa MBOR akan menyampaikan sijil kepada Natasha yang pulang ke tanah air esok.
Pengiktirafan MBOR itu mungkin akan menjadi pengubat semangat pemain boling negara, selepas Maradona mengesahkan, kejohanan Piala Dunia tidak berada di bawah senarai skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), sekali gus tiada insentif akan diterima atlet boling negara.
“Kejohanan Piala Dunia tidak berada dalam senarai Shakam jadi atlet dan jurulatih tidak menerima apa-apa ganjaran dalam bentuk wang apabila menang.
“MSN (Majlis Sukan Negara) hanya membenarkan untuk memilih dua kejohanan untuk skim Shakam, satu di peringkat dunia dan satu Asia.
“Jadi bagi peringkat dunia MTBC memilih Kejohanan Dunia dan di Asia adalah Kejohanan Asia,” katanya.
Begitupun Maradona tidak menolak mungkin ada perubahan di bawah kepimpinan baharu di bawah Presiden, Datuk Mohd Najeeb Abdullah.
“Kebiasaan tiada pemberian insentif di lain-lain kejohanan kerana dana yang sangat terhad.
“Namun sekarang ada presiden baru, saya tak pasti. Saya akan balik dahulu dan lihat apa yang dibincangkan oleh exco dalam mesyuarat nanti,” katanya.