JOHOR berjaya melangkah ke suku akhir acara bola sepak Sukma 2022 apabila membenam cabaran Sarawak 2-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Meskipun bermain dalam keadaan hujan lebat, anak-anak buah Jorda Ribera menguasai permainan sejak dari wisel permulaan dengan Sarawak sekali sekala cuba melakukan serangan balas.

Ketangkasan penjaga gol Sarawak, Khairul Fahmi Jamariza banyak menggagalkan percubaan berbahaya Johor untuk kedudukan separuh masa pertama kekal tanpa jaringan.

Bagaimanapun kesilapannya yang gagal menampan sepakan Naqiu Aiman Abdul Hadi pada permulaan babak kedua memberikan Johor mendahului skuad kendalian Safri Amat 1-0.

Gol itu nyata menaikkan semangat para pemain Johor untuk memburu gol bagi memastikan kemenangan lebih selesa namun gagal menyudahkan peluang yang terhidang.

Akhirnya pada minit-minit terakhir permainan, Johor dihadiahkan sepakan penalti dan Daryl Syam tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakannya untuk memberikan kemenangan kepada Johor.

K.Daryl Syam

Kemenangan ini memberikan Johor tujuh mata dari tiga perlawanan dan kini menunggu keputusan antara Pahang dan Melaka bagi menentukan juara kumpulan.

Sarawak pula tersingkir dari temasya mengekori Melaka meskipun memperolehi tiga mata tetapi dua kekalahan menutup terus peluang skuad Kenyalang ke suku akhir.

Johor akan bertemu Wilayah Persekutuan atau Selangor dari Kumpulan A pada saingan suku akhir pada Isnin di Stadium UiTM, Shah Alam.