“SETERUSNYA, saya tetap fokus kepada acara lompat bergalah!
Demikian tegas Nur Sarah Adi, selepas memenangi pingat emas acara 100m wanita di temasya Sukan Malaysia (SUKMA XX).
Persoalan itu timbul selepas Nur Sarah yang cemerlang dengan pingat emas acara lompat bergalah Sukan SEA di Hanoi, Mei lalu, mencipta sensasi di trek Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
“Fokus seterusnya, lompat bergalah, saya nak buat yang terbaik di sini. Malah tahun hadapan, ada sasaran ditetapkan untuk saya lakar catatan peribadi terbaik,” katanya.
Pada perlumbaan akhir 100m wanita, Nur Sarah menamatkan larian dengan catatan masa 11.91s, mengatasi pelari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling (12.08s) dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Faizal (12.10s), untuk masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa.
Nur Sarah akan beraksi dalam acara lompat bergalah, dengan buruan satu lagi pingat emas Ahad ini.
Gadis berusia 22 tahun itu, melakar sensasi di Hanoi dengan kejutan emas dalam acara yang tidak disasarkan.
Kini, masa depannya lebih terarah kepada lompat bergalah, dengan sasaran lebih besar dalam sukan itu.
“Saya akan cuba melakukan catatan terbaik peribadi sepanjang tahun ini dan tahun hadapan bagi membolehkan layak beraksi di Sukan Asia 2023,” katanya.