PASUKAN Sitty Racing Team berjaya muncul juara Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) Pusingan Keempat selepas dua pelumbanya, Fitra Eri dan Akid Azlee unggul menguasai perlumbaan 300 kilometer itu.
Jentera Honda Civid FD berwarna merah yang bermula dari petak utama tidak mempunyai sebarang masalah dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang itu meskipun rentak sedikit terganggu akibat kemalangan yang memaksa kereta keselamatan untuk keluar.
Mereka mencatatkan masa 2 jam 34 minit untuk menamatkan perlumbaan 54 pusingan itu satu pusingan dihadapan pasukan Maxtune Garage manakala pasukan R Engineering HRMT di tangga ketiga.

Jentera Sitty Racing Team
Fitra, pelumba kelahiran Indonesia itu nyata berpuas hati dengan kejayaan ini selepas dua tahun tidak berlumba di Sepang selain gembira dengan sambutan daripada peminat sukan permotoran baik di Indonesia mahupun di Malaysia.
“Pertama sekali saya gembira kerana jentera tidak mempunyai sebarang masalah dan kami berjaya memenangi perlumbaan ini meskipun terpaksa berhadapan masalah cuaca yang tidak menentu sejak sesi kelayakan semalam.
“Saya gembira dengan sokongan yang diberikan penyokong dari Indonesia dan Malaysia kerana kita adalah sama dan kita perlu teruskan menyokong industri sukan permotoran tempatan,” jelaskan dalam sidang media pada Ahad.

Fitra dan Akid
Teman sepasukannya, Akid Azlee pula turut lega kerana dapat memberikan kemenangan kepada pasukan meskipun hanya memandu seketika dengan dia banyak berada di belakang kereta keselamatan.
Kesemua pemandu mengalami kesukaran untuk mencari rentak pemanduan terutama ketika awal perlumbaan kerana keadaan litar yang basah tetapi selepas litar semakin kering, pasukan Sitty Racing tidak mempunyai masalah untuk mencatat kemenangan yang bergaya.