KEJUARAAN Petronas Cub Prix Malaysia musim 2024 bakal membuka tirainya pada 2 dan 3 Mac depan di Bandar Jasin Bestari, Melaka.

Ia sudah pasti menjadi kebanggaan buat warga Jasin dan Melaka khususnya, kerana sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah kejuaraan berprestij ini selepas kejayaan menganjurkan perlumbaan Pusingan 3 kejuaraan yang sama pada Mei tahun lepas.

Kejuaraan tahun ini bakal tampil lebih hebat terutamanya dengan kemunculan beberapa pasukan baharu, dan perkembangan ini sudah pasti akan memberi kepuasan kepada para penonton khususnya para peminat sukan permotoran dua roda.

Untuk menyerikan lagi saingan di Jasin pada 2 dan 3 Mac nanti, beberapa acara sampingan turut dianjurkan oleh pihak penganjur bagi memberi kepuasan serta hiburan kepada para pengunjung yang datang menyaksikan perlumbaan pembuka musim itu.

Pengurus Pemasaran dan Promosi, Yvonne Ng menggalakkan pengunjung untuk sertai acara CP Happy Bag. 

Pelbagai acara sampingan yang bakal diadakan tetapi yang menarik dan paling utama adalah jualan Cub Prix (CP) Happy Bag serta beraneka jenis cenderahati Cub Prix termasuk baju-T untuk dewasa dan kanak-kanak, topi, alat pemegang kunci, payung dan lain-lainnya.

CP Happy Bag yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada para pengunjung musim lalu, akan dijual pada harga RM65 satu set dan beg tersebut mengandungi baju-T edisi terhad, minyak pelincir Petronas Sprinta, minuman bertenaga Ranger dan juga stiker Cub Prix.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng, untuk saingan di Jasin Bestari nanti, hadiah utama cabutan bertuah CP Happy Bag adalah sebuah motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Yamaha Y suku.

Lokasi litar dan tarikh untuk perlumbaan Cub Prix 2024.

Sementara itu, aktiviti lain yang turut diadakan adalah Jom! Berselfie di Cub Prix dengan cara yang mudah iaitu para pengunjung hanya perlu merakam gambar kenangan atau berselfie dengan berlatar belakangkan booth CP Happy Bag atau mana-mana booth para penaja kejuaraan ini di setiap pusingan atau venue.

Gambar selfie tersebut hendaklah dimuat naik dalam akaun sosial media Instagram atau Tik Tok masing-masing dengan tajuk “Momen di Cub Prix 2024” dan setiap peserta merupakan pengikut akaun sosial media @msiancubprix dan CP Happy Bag.

Ayuh! Rakam momen anda ketika menyaksikan perlumbaan Cub Prix di setiap venue perlumbaan sepanjang musim ini.