MENJADI mangsa buli, mungkin cukup biasa dialami golongan kurang upaya (OKU) namun perbuatan buli yang membarah dalam masyarakat kita, perlu dihentikan segera.

Banyak kesan buruk dan akibat daripada perbuatan buli.

Perkara itu dikongsi Daneshen Govinda Rajan yang muncul pemenang pingat emas acara memanah kategori Terbuka Lelaki Temasya Para Sukma 2022.

Dia memenangi pingat emas buat Kedah, selepas mencatat mata 694, mengatasi catatan rakan senegeri Azrul Abd Rashid (653) dan wakil Sabah Ramdi Rahimin (652) untuk pingat perak dan gangsa.

Daneshan lahir sebagai penghidap Polio apabila dikesan pada usia tiga tahun, mempunyai pengalaman buruk dibuli di sekolah gara-gara mengalami kecacatan kaki kanan.

Daneshan (tengah) menunjukkan pingat emas dimenanginya di Para Sukma 2022.

“Sebab itu saya sayang ayah saya, dia banyak sokong saya terutamanya zaman saya bersekolah. Dia pernah datang sekolah sehingga dia menangis kerana saya bergaduh di sekolah, ayah tak salahkan saya.

“Waktu itu saya di tingkatan 3, cikgu panggil ayah saya datang kerana saya bergaduh. Saya bukan nakal tapi kawan-kawan mengejek saya cacat, OKU kerana kaki saya sehingga saya tak tahan lagi dan mengangkat kerusi dan saya lempar pada kawan saya.

“Tukang buli ni bukan ikut bangsa, semua  ada, semua sama. Selepas itu insiden itu, saya beritahu ayah saya tak mahu bersekolah lagi dan ayah saya ikut kehendak saya,” katanya.

Menurut Daneshan, ejekan itu masish tertanam di hatinya dan sejak berhenti sekolah, dia mengatakan pada dirinya, “kau tunggu sampai giliran aku nanti”.

Menurutnya, gilirannya sudah tiba apabila dia meraih pingat emas untuk negara di Temasya ASEAN Para Games, Surakarta, Indonesia, Julai lalu.

“Waktu itu saya dapat tiga pingat emas, acara beregu lelaki Recurve dan Compound bersama Wiro Julin dan satu lagi pingat emas bersama Nur Jannaton Abdul Jalil dalam beregu campuran selain pingat perak dalam acara Compound Individu Lelaki.

“Orang yang buli ada hubungi saya menerusi panggilan telefon, dia tanya awak atlet kebangsaan ke. Saya jawab iya lah, memang saya atlet kebangsaan. Itu sahaja dia cakap dan sejak itu dia berkawan dengan saya,” kata Daneshan.

Daneshan bersama Nur Jannaton Abdul Jalil (pemenang emas kategori Terbuka Wanita). Daneshan dan Nur Jannaton adalah gandingan beregu campuran negara di pentas sukan para antarabangsa.

Justeru, anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia meminta ayahnya berhenti daripada berkerja sebagai pemandu lori, demi membalas jasa insan yang banyak berjasa itu.

“Saya bawa ayah dan emak pergi jalan-jalan ke KLCC, kami pergi makan dan waktu itulah saya minta ayah supaya berhenti kerja. Ayah marahkan saya tapi saya minta dia izinkan kami tiga beradik pula menjaga dan mencari rezeki untuk ayah dan emak, sebelum sebulan selepas itu dia berhenti kerja.

“Saya kasihankan ayah kerana awal pagi keluar dan malam baru pulang. Sekarang, saya hantar ayah dan emak melancong ke Bangkok dan sebagainya, biar mereka bercinta semula,” kata Daneshan sambil ketawa.

Biarpun keciciran pelajaran, Daneshan membuktikan dia seorang atlet yang mempunyai keazaman tinggi menerusi komitmentnya.

Menurutnya, dia mahu melayakkan diri ke Paralimpik Paris 2024 dan akan berusaha mendapatkan slot ke sana.

“Saya tidak akan berkahwin selagi tidak layak ke olimpik. Kalau teman wanita saya kahwin dengan orang lain, biarlah saya tak kahwin,” katanya, dalam ketawa tapi serius.