MENJADI idola di kalangan peminat sejak kecil sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan kini jika dipilih sebagai ikon sukan negara, ianya akan menjadi satu penghormatan buat dirinya.

Farah yang kini sudah bersara dari arena gimnastik sedang menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadinya dan juga penganjuran Farah Ann Cup yang bakal berlangsung pada awal tahun 2023.

Selain itu, Farah juga mahu menubuhkan akademi gimnastik bagi melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan gimnastik dan menyiapkan dirinya untuk menjadi juri di peringkat antarabangsa.

Farah Ann Abdul Hadi

“Saya kini lebih banyak menghabiskan masa dengan pemulihan dan juga bercuti bersama-sama keluarga. Pada masa yang sama juga ada perancangan untuk menganjurkan pertandingan Farah Ann Cup untuk kanak-kanak pada tahun hadapan.

“Jika dinobatkan sebagai ikon ianya satu penghargaan yang sangat tinggi kerana kami membawa nama negara ketika bertanding. Ianya bukan beban tetapi ianya akan menjadi kebanggaan buat saya kerana saya mahu terus menginspirasi remaja-remaja untuk mengejar impian mereka.

“Saya juga kini menjadi juri untuk kejohanan gimnastik di peringkat kebangsaan dan akan menduduki kursus serta ujian untuk melayakkan saya menjadi juri di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Ikon Sukan anjuran Harian Metro pada Rabu.

Pelancaran Anugerah Ikon Sukan di Kuala Lumpur

Anugerah Ikon Sukan (AIS) dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada atlet-atlet, atlet paralimpik dan penggiat-penggiat industri sukan, termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan juga antarabangsa.

Penganjuran AIS juga bertujuan untuk menyemai budaya sukan yang sihat dan berdaya saing di kalangan rakyat Malaysia, di samping menyuntik semangat dan sokongan rakyat terhadap ikon-ikon sukan negara, sekaligus bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan industri sukan negara terus berdiri kukuh dan melakar kejayaan yang lebih gemilang.

Sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan iaitu Anugerah Ikon Sukan Lelaki, Anugerah Ikon Sukan Wanita, Anugerah Ikon Sukan Paralimpik, Anugerah Ikon Sukan Jurulatih, Anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Anugerah Ikon Sukan Kepimpinan, Anugerah Ikon Sukan Harapan dan Anugerah Ikon Sukan Personaliti/Pempengaruh.