KELAB dari Sarawak, Kuching City FC boleh dianggap telah mencatat pencapaian yang sangat positif musim ini, apabila pasukan mereka berjaya mara sehingga ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2022.
Biarpun tewas tipis sahaja di tangan pasukan bintang iaitu Sabah, ianya bukanlah sesuatu yang memalukan sebaliknya berhak menerima pujian.
Penyerang Kuching City FC, Abu Kamara menjelaskan kekalahan lalu hanya disebabkan kesilapan kecil yang dibuat oleh pasukannya sehingga terpaksa merelakan Baddrol Bakhtiar muncul peledak tunggal dalam saingan tersebut.
Malah jaringan tersebut juga tidak membenarkan Sabah tersenyum lebar kerana hanya mampu membawa bekalan tipis pada saingan suku akhir kedua di Likas.

Justeru, Kamara melaungkan semangat bahawa mereka mampu kembali bangkit untuk menewaskan Sabah menerusi persediaan yang telah dibuat dengan rapi.
“Perlawanan yang bagus sebenarnya pada minggu lalu kerana Sabah juga hanya meraih satu gol dan kami juga telah berjuang sebaiknya cuma kesilapan kecil telah menghukum kami.
“Tetapi kali ini kami mahu ke Likas untuk menang dan kalau Sabah boleh raih satu gol, kenapa tidak kami? Dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu.
“Sabah memang lawan yang kuat berbanding dengan kami yang hanyalah pasukan kecil sahaja, tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi, jadi kami sedang berusaha ke arah itu baik dari segi bertahan dan menyerang untuk cuba menang,” jelasnya.

Kehadiran 20,000 penyokong pada saingan di Stadium Negeri, Sarawak juga membuktikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim telah berada pada satu tahap luarbiasa yang belum pernah diimpikan Kuching City.
Selain mencatat keputusan yang baik dalam saingan Piala Malaysia, Kuching City juga mencapai detik terbaik mereka setelah muncul pasukan ketiga terbaik Liga Premier musim ini.