JAWATANKUASA Pemilihan Pasukan E-Sport Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan senarai pemain acara Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang akan mengambil bahagian pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja Mei ini.
Pemilihan tersebut dibuat pada minggu lepas setelah mengambil kira prestasi pemain semasa menjalani sesi pemilihan tertutup minggu lalu.
Ketua Pemasaran, Bisnes dan Pembangunan Malaysia Professional League (MPL), Fikri Rizal Mahruddin yakin terhadap kemampuan pemain yang telah disenaraikan untuk mewakili negara dalam Sukan SEA ke-32 yang akan dilangsungkan di Phnom Penh, Kemboja.
“Kita yakin pada barisan pemain yang mewakili Malaysia pada Sukan SEA di Kemboja kali ini. Skuad ini benar-benar beraksi pada tahap terbaik,” ujarnya.

Pun begitu, dia mengakui sukar untuk memilih senarai pemain tersebut kerana saingan antara setiap pemain sungguh sengit dan mencabar.
“Kita menghadapi waktu yang sukar untuk memilih pemain yang benar-benar layak mewakili skuad kebangsaan.
“Namun, setelah berbincang dengan pakar industri, jurulatih profesional, skuad penganalisis dan pengurus pasukan, kita yakin kita telah membentuk skuad terbaik All-Stars untuk Malaysia,” katanya.
Keseluruhan pemain yang disenarai pendek ke Kemboja adalah Muhammad Danial Mohamad Fuad (gold), Idreen Abdul Jamal (Exp), Mohammad Irwandy Lim (Mid), Mohammad Zul Hisham Mohd Noor (Roam), Muhammad Syafizan Najmi Kamarulzaman (Jungler), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Simpanan), Muhammad Arif Abdul Halim (Simpanan), Khairul Azman Mohd Sharif(Ketua Jurulatih), Poon Kok Sing (Penolong Jurulatih) dan Muhammad Hazim Firdaus Ismail (Penganalisis).