BIARPUN pelbagai ramalan menjangkakan Sabah FC bakal menyaingi kehebatan Johor Darul Ta’zim, namun ianya hanyalah sekadar angan-angan apabila (JDT) FC terus mengukuhkan cengkaman di persada liga setelah berjaya menundukkan The Rhinos 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.
Reputasi JDT kekal pada tahap tertinggi apabila berjaya membuka jaringan menerusi pemain lincah, Arif Aiman Hanapi yang bijak menggelecek pertahanan lawan sebelum menyumbat masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-20.
Minit ke-39, Juan Muniz menambah derita Sabah FC dengan melakukan placing menarik menewaskan penjaga gol The Rhinos, Khairul Fahmi Che Mat, meletakkan Harimau Selatan selesa 2-0 di hadapan.

Babak kedua, Sabah FC dilihat mula memperkemaskan permainan dengan kemasukan Rawilson Batuil dan Stuart Wilkin namun masih buntu menemui penyudah terbaik mereka.
Meskipun kekurangan minit permainan, JDT pula menerusi Syahmi Safari turut diberi peluang Jurulatih JDT, Esteban Solari beraksi pada babak kedua dan dia turut memiliki satu peluang menjaringkan gol namun rembatannya agak lemah.
Enggan mengalah, Ong Kim Swee memasukkan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah namun ianya masih gagal menggembirakan segelintir penyokong Sabah yang hadir.

15 minit menuju wisel penamat, JDT kembali menunjukkan kewibawaan mereka apabila Fernando Forestieri mempunyai dua peluang keemasan menerusi rembatan kencang namun diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Minit ke-80, hantaran Arif Aiman disempurnakan Syahmi Safari untuk meletakkan JDT unggul 3-0 di hadapan.
Manakala pasukan Sabah FC pula menerusi Amri Yahyah pada minit -minit akhir permainan hampir melakukan magis namun sepakannya berjaya ditepis keluar penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Minit ke-89, Corbin Ong melorongkan bola kemas kepada Fernando Forestieri untuk gol keempat tuan rumah.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan di takhta liga dengan 18 mata manakala Sabah FC kekal di tangga kedua dengan 13 mata.