PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Grab Malaysia sebagai Rakan E-Hailing dan Penghantaran Makanan Rasmi FAM bermula hari ini menerusi perjanjian kerjasama melibatkan kedua-dua pihak di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyimpulkan kehadiran Grab Malaysia akan memberikan suntikan semangat kepada barisan kejurulatihan dan pemain pada kempen Piala Asia yang akan bermula pada Januari 2024.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo pula menganggap menerusi kerjasama ini, Grab Malaysia akan memastikan keperluan harian pasukan bola sepak negara akan diuruskan dengan sempurna sekali gus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap prestasi.

Pada masa yang sama, kerjasama ini membolehkan Grab memberi sumbangan bermakna terhadap bola sepak negara serta mendorong kejayaan di peringkat global.

Selain menyokong perjuangan skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya, kehadiran Grab adalah bertujuan untuk meraikan perpaduan menerusi bola sepak bersama jutaan rakyat Malaysia.

Perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian.