PASUKAN Johor Darul Ta’zim membuktikan status mereka sebagai kuasa besar Asia apabila menewaskan Vissel Kobe 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia 2025–2026 di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Selasa.

Disokong puluhan ribu penyokong setia, Harimau Selatan bermula garang dengan beberapa serangan berbahaya, namun jaringan awal menerusi rembatan Nene terpaksa dibatalkan selepas tiga pemain JDT dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, meskipun tempo perlawanan kekal tinggi.

Memasuki babak kedua, JDT meningkatkan tekanan dengan lebih agresif, namun sekali lagi dikecewakan apabila jaringan Marcos Guilherme hasil umpanan Bergson da Silva dibatalkan kerana ofsaid.

Vissel Kobe hampir mencuri gol menerusi percubaan Jean Patric pada minit ke-63, tetapi rembatan tersebut tersasar, memberi kelegaan kepada kem tuan rumah.

Usaha tanpa henti JDT akhirnya berbaloi pada minit ke-74 apabila pemain gantian, Jairo da Silva, mencipta umpanan cantik untuk disudahkan Marcos Guilherme, sekali gus memecah kebuntuan perlawanan.

Gol tersebut memastikan kemenangan 1-0 milik JDT, sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 16 terbaik tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.