PERCUBAAN pertama jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite, Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat (AS), tidak seperti yang diharapkannya, namun tetap berjaya menaiki podium.
Atlet kelahiran Perak yang berpangkalan di AS itu merekodkan catatan masa 10.38 saat (s) meraih gangsa selepas tewas kepada juara kejohanan dalam dewan SEC, Kanyinsola Ajayi yang melepasi garisan penamat dengan catatan 10.21s.
Manakala pingat perak dimenangi Makanakaishe Charamba dengan catatan masa 10.28s, melengkapkan monopoli pelari dari Universiti Auburn.

Biarpun catatan 10.38s masih jauh daripada masa kelayakan ke Olimpik Paris iaitu 10s, ia dilihat satu permulaan positif buat Azeem yang kini memburu tempat ke Paris secara merit.
Ia adalah pertandingan di luar dewan pertama yang disertainya tahun ini.
Selepas ini, Azeem akan berehat untuk menghormati bulan Ramadan sebelum meneruskan misi memburu tempat ke Olimpik, Paris.
“Bukanlah keputusan yang saya mahukan bagi pembukaan acara 100m, tetapi perancangan Allah itu lebih baik.
“Bak kata orang, percaya kepada proses!!” kata Azeem.

Di kejohanan sama, Azeem turut membantu Universiti Auburn meraih pingat emas acara 4x100m.
Berlari bersama Kanyinsola Ajayi, Dario Matau, Makanakaishe Charamba, Azeem menjadi pelari terakhir menamatkan larian di kedudukan pertama dengan catatan 38.74s.
Azeem mengakui akan berehat selepas ini dan aan kembali menyertai kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.
Walaupun terlepas empat kejohanan pada bulan Ramadan ini namun pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh kejohanan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan.
Sekiranya gagal melepasi catatan masa secara merit iaitu 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi kuota wild card negara berdasarkan kedudukan dalam ranking dunia.
Kali terakhir wakil negara beraksi di pentas Olimpik adalah melalui Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia dan jika berjaya, Azeem berpeluang merekodkan sejarah baharu arena olahraga negara sebagai penyambung legasi meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik.