TIDAK diberikan harapan besar memburu emas dalam sukan wushu pada awalnya namun keputusan positif dicapai para atlet mengejutkan banyak pihak.
Atlet wushu lelaki negara, Clement Ting Su Wei dan Tan Zhi Yan masing-masing mengungguli dua emas acara changquan dan tajiquan di Gimnasium Cau Giay, Hanoi pada Jumaat.
Pengurus pasukan, Fook Yan Chong ketika ditemui Flash Sukan masih terkejut dan tidak menjangka atletnya mampu meraih emas walaupun pada mulanya tidak diletakkan apa-apa sasaran tertinggi.
“Memang tak terfikir mereka boleh bagi kita emas kerana edisi kali ini diwakili budak baru. Ketiga-ketiga yang dapat pingat itu adalah pertama kali bermain di Sukan SEA,” ujarnya di Hanoi, Vietnam.
Sebelum temasya bermula, Yan Choong mendedahkan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt hanya menyasarkan satu perak dan satu gangsa untuk skuad yang bertanding pada edisi dwitahunan itu.
“Presiden kami juga menyasarkan satu perak dan satu gangsa tetapi hari ini kita disajikan berita baik.
“Presiden juga cakap kita tidak berada di tahap tak lemah jika tak buat kesilapan dalam pertandingan, memang boleh sangat dapat pingat.
“Walaupun MSN dan OCM tidak meletakkan sasaran kepada mereka, tetapi pada hari ini mereka dah buktikan dan saya rasa bangga emas ini bagi bonus untuk kontinjen Malaysia.
“Atlet tetap buat yang terbaik dan inilah hasilnya,” katanya lagi.
Terdahulu, Malaysia meraih perak dalam acara nandao lelaki yang dimenangi Calvin Lee.