SRI Pahang FC mahu memburu seorang lagi pemain import untuk mengisi bahagian serangan bagi membantu Kpah Sherman selain menambah sengat barisan hadapan Tok Gajah menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia 2024-25 pada 10 Mei.
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menjelaskan bagaimanapun segalanya bergantung pada keputusan pihak pengurusan dan dia bersedia untuk bermain dengan enam pemain import yang ada setakat ini.
Skuad Tok Gajah diperkuat Kpah Sherman, Stefano Brundo, Manuel Hidalgo, Aleksandar Cvetkovic, Mykola Ahapov sebagai pemain antarabangsa serta dibantu pemain naturalisasi, Sergio Aguero.

Kpah Sherman mengetuai serangan Sri Pahang FC
“Bagi saya, kami masih perlukan seorang lagi pemain import untuk mengisi bahagian hadapan dengan kini pasukan mempunyai enam pemain antarabangsa dan perlukan seorang lagi penyerang.
“Tetapi buat masa ini, kami akan teruskan perancangan dan persiapan dengan enam pemain yang ada dengan corak permainan ‘wide attacking‘ yang hanya memerlukan dua pemain di bahagian hadapan,” katanya selepas berakhir perlawanan pramusim menentang Kelantan Darul Naim FC.
Legenda bola sepak Singapura itu juga gembira dengan persiapan yang dilakukan pasukannya dengan kempen pramusim di Singapura mencatatkan keputusan yang positif dan kini akan menghadapi dua lagi perlawanan pramusim untuk menguji gandingan terbaik.

Aksi Fandi ketika menewaskan Kelantan Darul Naim FC
“Kita bermain baik di Singapura dan ini beri ruang buat kami barisan kejurulatihan untuk menilai setiap pemain dan para pemain juga perlu membuktikan mereka layak untuk dipilih ke kesebelasan utama Sri Pahang musim ini,” jelasnya.
Sri Pahang bakal bertemu Terengganu di Temerloh pada 28 April sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2024-2025 bertemu Kelantan Darul Naim dalam misi mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.