HASRAT Johor Darul Takzim (JDT) FC untuk mengutip mata penuh ke atas Selangor FC tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ.
Penyerang sensasi JDT, Bergson da Silva terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-32 apabila dihadiahkan sepakan penalti yang sedikit kontroversi kerana Arif Aiman dilihat sengaja merebahkan badan namun pengadil meletakkan kesalahan itu kepada pertahanan Gergasi Merah, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab.
Namun, ianya jelas tidak mematikan semangat Selangor FC apabila tampil dengan persembahan seimbang untuk menyekat kemaraan pasukan pelawat.
Sekembalinya dari bilik persalinan, Red Giants seakan menerima nafas baharu setelah Herlison Caion berjaya menggelecek penjaga gawang JDT, Muhammad Haziq Nadzli sekaligus mengikat kedudukan 1-1.
Jaringan tersebut jelas menyuntik semangat pasukan Selangor FC terus bernafsu memperoleh gol seterusnya, namun beberapa percubaan gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Keputusan tersebut kekal menyaksikan Gergasi Merah melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelapan liga manakala Harimau Selatan terpaksa menelan hakikat kebangkitan Gergasi Merah.