SELAIN Sabah FC, pasukan Hougang United FC dari Singapura mengesahkan diri menyertai kejohanan empat penjuru Piala Sabah Maju Jaya 2024 bermula 29 April hingga 5 Mei 2024 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata hadiah keseluruhan berjumlah RM33,000 menanti pemenang yang turut membabitkan dua lagi pasukan Liga Super 2024-25 iaitu Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC.

Kejohanan empat penjuru edisi kedua ini menawarkan hadiah berbentuk piala dan wang tunai RM15,000 untuk juara, RM10,000 untuk naib juara manakala tempat ketiga akan menerima RM5,000 dengan pasukan tempat keempat membawa pulang RM3,000.

Poster kejohanan Piala SMJ 2024

Mohd Joh juga berkata sudah tentu kejohanan ini adalah ruang terbaik untuk semua pasukan bagi menguji keserasian dan kecergasan pemain sebelum menghadapi persaingan sebenar nanti.

“Kejohanan ini bakal menguji kekuatan serta strategi pasukan masing-masing sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25 yang akan bermula pada 10 Mei depan.

“Sedafiat Sdn.Bhd dan Anika Desiran Sdn.Bhd adalah penaja kejohanan empat penjuru Piala SMJ tahun ini dan penyertaan pasukan luar negara juga dilihat boleh menguji pasukan Sabah FC selepas bersama-sama terlibat dalam kejohanan Piala AFC tahun lalu,” jelasnya.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid

Sabah FC juga perlu memanfaat peluang keemasan beraksi di gelanggang sendiri dalam kejohanan ini untuk menarik perhatian para peminat dan penyokong menyaksikan Piala SMJ 2024 ini.

“Tiket perlawanan mula dijual bermula 26 April jumaat ini dan orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di laman www.tickethotline.com.my. dengan harga tiket berbumbung adalah RM15 bagi dewasa manakala RM10 kanak-kanak di bawah 12 tahun. Bagi tiket tidak berbumbung pula adalah RM10 dewasa dan RM5 kanak-kanak di bawah 12 tahun,” tambahnya.

Kejohanan yang akan bermula 29 April itu akan menemukan KL City FC dan Kuching City FC pada jam 4 petang manakala Sabah FC menentang Hougang United FC pada 8 malam.

Harga tiket yang akan dijual secara atas talian

Sementara itu pada untuk perlawanan kedua pada 1 Mei pula, Kuching City FC menentang Hougang United FC pada jam 4 petang manakala Sabah FC menentang KL City FC pada jam 8 malam.

Perlawanan ketiga dijadualkan pada 3 Mei di antara Hougang United FC dan KL City FC pada jam 4 petang manakala Sabah FC menentang Kuching City FC akan bermula jam 8 malam.

Penentuan tempat ketiga dan keempat ditentukan pada 5 Mei jam 4 petang manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 8 malam dengan kesemua perlawanan akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.