JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menegaskan bahawa dirinya mahu mempertahankan gelaran juara dalam acara powerlifting pada temasya Paralimpik Paris yang akan bermula hujung Ogos ini.
Atlet berusia 25 tahun itu berjaya meraih pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020, sekali gus menanam hasrat untuk mengekalkan kedudukan terbaiknya (kini ranking nombor satu dunia) meskipun berdepan tekanan untuk merealisasikan impian di Paris nanti.
Dapat dilihat menerusi nilai keazaman yang tinggi, atlet dalam kategori (kecacatan fizikal) itu masih bersikap positif akan situasi tekanan yang dialami demi mempertahankan pingat emas kedua berturut-turut bagi kategori angkatan 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik.

Ketua Kontinjen (kiri) bersama atlet angkat berat negara.
“Bagi saya, kini saya berasa dalam fasa bersedia. Saya sudah membuat persediaan rapi untuk memberi yang terbaik terutama dalam sasaran untuk memecahkan rekod saya.
“Untuk pertahankan pingat emas pula memang terdapat satu tekanan di situ, namun saya tetap akan berusaha untuk meraih semula gelaran juara itu nanti walaupun posisi ketika ini tidak begitu selesa,” ujar Bonnie ketika ditemui media pada Rabu.
Berada di posisi tidak begitu selesa itu dapat disimpulkan apabila jurulatihnya, Jamil Adam mendedahkan bahawa terdapat pencabar utama iaitu dari Itali yang harus diawasi oleh Bonnie.

Lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke venue latihan powerlifting.
Walaupun Bonnie masih kekal di ranking pertama dunia, namun tidak mustahil untuk atlet para dari Itali itu mampu melakukan kejutan pada acara powerlifting yang akan berlangsung 6 September depan.
“Seperti yang saya tahu, atlet Itali dapat melakukan angkatan dalam 220kg, dan Bonnie memang dapat buat lebih daripada itu (230kg). Jurang itu agak jauh tetapi dalam perlawanan, segalanya boleh berlaku. Kita hanya perlu mengelakkan kesilapan,” tambah Jamil.
Untuk rekod, pingat emas terakhir yang diraih Bonnie adalah sewaktu Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para, Dubai pada Mac lalu dengan angkatan seberat 218kg. Di Paralimpik Tokyo pula, dia berhasil membuat angkatan terbaik seberat 220kg sekali gus menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.