KONTINJEN Melaka melaungkan amaran awal kepada semua pesaing apabila meraih dua pingat emas pada hari pertama pingat dipertandingkan di Temasya Sukan Malaysia XXI di Sarawak.
Sukan wushu yang membuka gelanggang pada Rabu pagi menyaksikan Melaka menguasai dua pingat emas menerusi kategori Nanquan lelaki dan wanita manakala Selangor memenangi emas bagi kategori Taijian wanita.
Bryan Kai Jie Ti membuka akaun pingat emas buat Melaka apabila cemerlang pada acara Nanquan Lelaki dengan memperolehi 9.600 mata meninggalkan pemenang pingat Perak, Mui Fei Foo dari Perak manakala gangsa dimenangi atlet tuan rumah, Tai Leong Fung.

Kedudukan pingat terkini Sukma XXI Sarawak (kredit foto: BB Cats)
Melaka menambah pingat emas kedua menerusi Pei Ler Tan dari acara Nanquan wanita dengan 9.500 mata manakala atlet Johor, Eunice Pang Wei En meraih perak dan Gillian Ying Tze Ong meraih gangsa buat Pulau Pinang.
Dalam kategori Taijian Wanita pula, atlet Selangor, Mandy Cebelle Chen meraih emas dengan 9.603 mata mengatasi pemenang pingat perak, Carmen Chia Min Chaw dari Sarawak manakala pingat gangsa pula menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan, Kwan Yong Xin.
Kontinjen Negeri Perak berjaya memenangi emas pertama menerusi acara Berbasikal Ujian Masa Individu Wanita hasil kemenangan Ci Hui Nyo dengan catatan masa 41 minit 10.793 saat mengatasi pelumba Wilayah Persekutuan dan Kedah.

Chi Hui Nyo memenangi emas acara ujian masa individu
Selepas berakhir sesi pagi, lapan kontinjen negeri sudah berjaya memenangi pingat dengan pelbagai lagi acara akan membuka gelanggang sebelum upacara pembukaan rasmi pada 17 Ogos di Stadium Sarawak.