AC Monza, kelab yang kini menghuni tangga tercorot Serie A Liga Itali, secara rasmi memecat Alessandro Nesta sebagai ketua jurulatih.
Pemecatan ini diumumkan susulan kekalahan 1-2 kepada Juventus dalam perlawanan minggu ke-17 Serie A di Stadium U-Power pada awal pagi Isnin.
“AC Monza dengan ini mengumumkan bahawa Alessandro Nesta telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
“Pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Nesta atas sumbangan dan usaha beliau selama ini serta mendoakan kejayaan buatnya di masa depan,” menurut kenyataan itu.
Nesta, yang merupakan legenda bola sepak Itali, telah dilantik sebagai ketua jurulatih Monza pada 12 Jun 2024. Namun, dia gagal memperbaiki prestasi pasukan, yang kini hanya mengumpul 10 mata daripada 17 perlawanan.
Situasi ini memaksa pihak pengurusan kelab untuk mengambil tindakan drastik bagi menyelamatkan kedudukan mereka dalam liga.
Bagi menggantikan Nesta, Monza melantik Salvatore Bochetti sebagai ketua jurulatih baharu dengan harapan dapat membawa perubahan positif.
“AC Monza dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Salvatore Bochetti sebagai ketua jurulatih pasukan utama. Beliau telah menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2027,” jelas kenyataan rasmi kelab.
Dengan pelantikan Bochetti, Monza bertekad untuk memperbaiki prestasi pasukan dan menamatkan musim dengan kedudukan yang lebih baik. Pihak kelab berharap perubahan ini dapat memulihkan semangat pasukan dan keyakinan penyokong.