Kredit Gambar: MSN Malaysia
Kem karate negara membuka kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan dua pingat gangsa menerusi K Thevendran dan Shankar Hari Shankar, sekali gus memberikan permulaan positif dalam usaha mengejar sasaran enam pingat.
Thevendran terlebih dahulu memastikan podium menjadi miliknya selepas menewaskan wakil Nepal, Rakesh Manandhar 9-1 dalam aksi repechage kumite bawah 55 kilogram (kg) lelaki di Gimnasium Toyohashi, Aichi, hari ini.
Atlet negara itu tampil dominan sejak awal perlawanan apabila mendahului 3-1 dalam tempoh seminit pertama sebelum terus meningkatkan tekanan terhadap Rakesh.
Penguasaan Thevendran menyukarkan lawannya untuk membina serangan dan mengumpul mata, sekali gus membolehkan wakil Malaysia mengekalkan kelebihan sehingga tamat aksi.
Tidak lama kemudian, Shankar turut menyumbang gangsa kedua buat kontinjen negara dalam acara kumite lelaki 68kg.
Shankar pada awalnya menerima tentangan sengit daripada wakil Vietnam, Van Duc Chu, namun berjaya mengambil alih kawalan perlawanan sebelum melakar kemenangan 10-2 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Dua pingat tersebut menjadi pembuka tirai buat kem karate Malaysia yang hadir ke Aichi-Nagoya dengan sasaran enam pingat pada temasya kali ini.