Kredit Gambar: Bay Ismoyo/AFP

GANDINGAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani antara yang menjadi sandaran utama Malaysia untuk menamatkan kemarau emas badminton di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas 20 tahun.

Bekas pemain negara, Datuk Rashid Sidek berkata, pasangan ranking keenam dunia itu berada pada landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan, namun perlu bijak mengawal tekanan bagi merealisasikan misi berkenaan.

“Sze Fei-Izzuddin nampak berada dalam prestasi baik tetapi kita tidak boleh menjangka prestasi mereka. Apabila kita mengharapkan mereka beraksi baik, kadang-kadang mereka gagal mengawal tekanan.

“Jadi, mereka perlu bijak mengawal tekanan dan memanfaatkan pengalaman yang ada untuk menghadapi cabaran di Sukan Asia,” katanya.

Terdahulu, beregu lelaki profesional negara berkenaan, menyatakan tidak mahu sekadar melengkapkan saingan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebaliknya menyasarkan pingat emas buat Malaysia.

Rashid pada masa sama melihat gandingan baharu Aaron Chia-Tee Kai Wun turut berupaya mencipta kejutan, terutama kerana mereka tidak dibebani reputasi sebagai pasangan tetap seperti Sze Fei-Izzuddin.

“Aaron-Kai Wun adalah gandingan baharu dan mereka boleh mencipta beberapa kejutan. Mereka perlu berani menghadapi cabaran kerana dalam badminton peluang sentiasa ada,” katanya.

Dalam beregu wanita, Rashid berkata peluang Pearly Tan-M Thinaah untuk mencabar pingat pula banyak bergantung kepada tahap kecergasan Pearly yang baru pulih daripada kecederaan belakang.

“Pearly-Thinaah belum berada pada tahap terbaik, tetapi mereka terkenal dengan semangat tidak mudah menyerah. Kekuatan itu memberikan mereka peluang,” katanya.

Menurut Rashid, cabaran di Aichi-Nagoya tidak boleh dipandang ringan kerana sebahagian besar pemain bertaraf dunia datang dari benua Asia, manakala setiap negara hanya dibenarkan menghantar dua wakil bagi setiap acara.

“Sukan Asia adalah temasya kedua selepas Olimpik dari segi tahap kesukaran untuk memenangi pingat badminton. Setiap negara hanya dibenarkan menghantar dua wakil bagi setiap acara.

“Sebahagian besar pemain bertaraf dunia datang dari benua Asia dan persaingan kali ini pasti sangat sengit. Namun, pemain perlu bangkit menyahut cabaran demi maruah negara dan berusaha mendapatkan pingat,” katanya.

Malaysia kali terakhir meraih emas badminton di Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi Doha 2006, manakala pada Hangzhou 2022, Aaron-Soh Wooi Yik menyumbang gangsa.

Justeru, Rashid berharap kem negara mampu memanfaatkan prestasi semasa dan pengalaman mereka untuk mengharungi persaingan sengit di Aichi-Nagoya, sekali gus menamatkan penantian emas badminton negara selama dua dekad.