PERJALANAN ke Piala Dunia FIFA 2026 semakin menghampiri kemuncaknya buat pasukan-pasukan Asia apabila hanya tinggal dua slot automatik yang masih dipertaruhkan dalam pusingan akhir kelayakan AFC. Persaingan kini menjadi semakin getir apabila enam pasukan — Indonesia, Iraq, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) — masih dalam perebutan ke pentas terbesar dunia itu.

AFC mengesahkan bahawa pusingan keempat kelayakan akan berlangsung secara berpusat di Qatar dan Arab Saudi dari 8 hingga 14 Oktober 2025. Enam pasukan tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing mengandungi tiga pasukan. Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua pula akan berentap dalam dua perlawanan playoff pada 13 dan 18 November 2025 untuk menentukan wakil Asia ke pusingan playoff antara benua.

Antara yang menarik perhatian ialah kemaraan Indonesia, yang berharap untuk membuat penampilan kedua mereka di Piala Dunia selepas kemunculan pertama pada 1938 (ketika itu sebagai Hindia Timur Belanda). Skuad Garuda berjaya menduduki kedudukan keempat dalam Kumpulan C, mengatasi cabaran hebat dari China dan Bahrain.

Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022 dan juara Piala Asia, juga melalui kempen sukar apabila sekadar menamatkan saingan di tangga keempat Kumpulan A, manakala UAE di tempat ketiga. Arab Saudi pula terpaksa berpuas hati di tangga ketiga dalam kumpulan yang sama dengan Australia dan Jepun.

Sementara itu, enam pasukan dari Asia telah pun mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Dunia 2026 iaitu Jepun, Australia, Korea Selatan, Iraq, Uzbekistan dan Jordan — dengan tiga nama terakhir bakal mencipta sejarah penampilan sulung di pentas Piala Dunia.

Cabutan undian rasmi bagi pusingan akhir kelayakan Asia akan berlangsung pada 17 Julai ini. Format berpusat yang diperkenalkan ini dijangka memberikan cabaran dan tekanan tinggi kepada semua pasukan terlibat, sekali gus menjanjikan perlawanan yang sarat dengan debaran.

Tinggal selangkah lagi, mampukah Indonesia atau negara Asia Barat yang lain mencipta kejutan untuk mengesahkan tiket ke Amerika Syarikat? Peminat Asia pastinya menantikan detik bersejarah yang bakal terlakar Oktober ini.