KEJAYAAN pasukan silat negara, baik di peringkat senior mahupun junior, dalam kejohanan di Abu Dhabi baru-baru ini telah mendapat pujian tinggi daripada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
Megat menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti potensi luar biasa pasukan negara, terutamanya di peringkat remaja yang menghadapi cabaran besar namun tetap menyerlah di pentas antarabangsa.
Selain itu, Megat juga mengakui bahawa pada awalnya pasukan remaja tidak tersenarai dalam program bersama Majlis Sukan Negara.
Namun, beliau mengambil keputusan untuk menghantar 19 pegawai dan atlet dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Pesaka dan keputusan ini terbukti berbaloi apabila pesilat-pesilat muda negara menunjukkan prestasi luar biasa, meskipun bertanding di peringkat antarabangsa.
“Saya bersyukur dan amat gembira melihatkan prestasi pesilat-pesilat remaja kita yang tidak gugup bertanding di pentas antarabangsa, ini memberikan harapan besar untuk mereka menyertai pasukan kebangsaan di masa hadapan,” kata beliau.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan negara meraih lima pingat emas namun, satu pingat emas terlepas pada saat-saat akhir apabila pesilat Malaysia yang mendahului perlawanan menentang Vietnam, akhirnya kehilangan gelaran akibat keputusan yang berpihak kepada pasukan lawan.
Megat menyifatkan insiden yang berlaku itu adalah sebagai pengalaman berharga buat pasukan negara.
“Satu pingkat emas seperti yang kita sedia maklum, pada 18 saat yang terakhir pingat emas itu hilang daripada genggaman.
“Walaupun pesilat Malaysia telahpun mendahului dengan begitu jauh menentang pesilat Vietnam tetapi apakan daya kerana diberikan kemenangan terus kepada pasukan Vietnam maka kita hilang peringkat emas tersebut,” tambahnya
Megat turut menekankan pentingnya sikap bertanggungjawab dalam kalangan pesilat negara.
Beliau menjelaskan bahawa setiap ahli pasukan perlu memahami bahawa perbelanjaan yang dikeluarkan adalah amanah besar untuk mengharumkan nama negara.
“Saya tidak boleh menerima kalau ada pesilat kita yang ingin menjadi penumpang, There is no passenger dalam pasukan kita kerana semua daripada mereka mesti bertanggungjawab kepada setiap perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membiayai pasukan kita.
“Saya inginkan mereka supaya benar-benar mempunyai sifat kebertanggungjawaban yang tinggi dan bertarung bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara,” tegasnya.
Walaupun terkenal dengan pendekatan tegas, Megat menegaskan bahawa segala yang dilakukannya adalah demi memastikan kejayaan pasukannya itu sendiri.
“Kadang-kadang kenyataan saya memang kenyataan yang dilihat seperti mengugut mereka tetapi apabila mereka berjaya tidak ada perkara yang lebih menggembirakan saya selain melihatkan mereka berada di podium dan memenangi pingat emas.
“Kami (Pesaka) tidak mahu apa-apa, saya sebagai Presiden tidak inginkan apa pun balasan, hanya yang kita inginkan mereka berjaya dan berada di atas podium dan muncul sebagai juara dunia,” ujarnya lagi.
Pesaka di bawah pimpinannya komited untuk terus memberikan sokongan penuh kepada atlet negara, dengan harapan kejayaan di Abu Dhabi akan menjadi langkah awal ke arah pencapaian lebih besar di masa hadapan.