ATLET luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah sedang mempersiapkan dirinya untuk mencapai prestasi cemerlang dalam Kejohanan Ski Air Dunia Terbuka yang diadakan di Lake County, Florida.
Bagi anak muda yang berusia 20 tahun ini, 2023 telah menjadi tahun gemilang baginya dengan pencapaian luar biasa dalam dua acara utama iaitu Moomba Masters pada bulan Mac dan Kejohanan Bawah-21 Dunia pada bulan Jun.
Namun, kejayaan yang paling berharga buat Aaliyah adalah ketika memenangi pingat gangsa dalam acara jumps pada Kejohanan Bawah-21 Dunia sekali gus menjadikannya sebagai atlet Malaysia pertama yang mencapai anugerah tersebut dalam kejohanan dunia.
Sementara itu, Aaliyah yang merupakan penuntut di Florida Southern College mengatakan bahawa dirinya perlu menuruti jadual yang seimbang antara akademik dan latihan serta menjadikan dia berfikiran lebih realistik dalam sasaran pingat untuk kejohanan dunia ini.
“Saya bertekad untuk mencapai prestasi peribadi terbaik (PB) dalam acara jumps atau slalom pada kejohanan dunia yang menanti.
“Dalam masa yang sama, harapan untuk berjaya dalam acara trick juga perlu direalisasikan kerana ianya akan mempengaruhi ranking dunia Kesatuan Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF),” katanya dalam kenyataan media.
Saat ini, Aaliyah memegang rekod trick sebanyak 8,080 sekaligus merupakan rekod kebangsaan dan Asia sejurus mencatatkan prestasi yang luar biasa dalam acara slalom dengan rekod 4.5/55/12, manakala pencapaiannya yang paling cemerlang adalah dalam acara lompat, dengan PB 47.2 meter.
Jelas bahawa kronologi kejayaan Aaliyah adalah satu inspirasi besar serta kekuatannya akan dibuktikan lagi dalam Kejohanan Ski Air Dunia dengan harapan untuk lebih banyak pencapaian cemerlang mengekori masa depan atlet muda ini.