PASUKAN World Team DSM Firmenich PostNL terpaksa melupakan khidmat Frank Van Den Broek di Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas pelumba muda berusia 23 tahun itu bakal memperkuatkan skuad lebuh raya Belanda untuk menghadapi Kejohanan Dunia UCI (World Championship) yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland, 21 hingga 29 September ini.

Sebaliknya, pasukan yang berpengkalan di Belanda itu menggantikan tempat Van Den Broek dengan seorang lagi pelumba muda yang sedang meningkat naik dari Great Britain, Max Poole untuk membawa cabaran sulung pasukan tersebut di LTdL 2024 yang akan berlangsung pada 29 September hingga 6 Oktober ini.

Poole berusia 21 tahun, tampil dengan aksi yang cemerlang dengan merekodkan empat kali menaiki podium pada perlumbaan berstatus grand tour – Vuelta a Espana baru-baru ini dan muncul naib juara keseluruhan pada Vuelta a Burgos Sepanyol.

Menghuni ranking ke-111 dunia, Poole kelahiran Scunthorpe, England dilabel sebagai pelumba pendaki yang berani dan mampu memberikan saingan bertahap tinggi hingga ke garisan penamat.

Image

Selain Poole, DSM Firmenich bakal tampil dengan barisan pelumba seperti Alex Edmondson (Australia), Niklas Markl (Jerman), Casper Van Uden (Belanda), Bjoern Koerdt (Great Britain) dan Johan Dorussen (Belanda).

DSM Firmenich dilihat mampu menjadi pencabar utama kepada 22 pasukan yang bertanding di LTdL 2024 dalam perebutan juara keseluruhan dan peringkat, sekaligus bakal menjanjikan persaingan sengit yang seimbang di antara tiga pasukan World Team yang menyertai LTdL tahun ini.

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer tahun ini bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan saingan selain dua peringkat buat julung kalinya dilangsungkan di dua bandar di Sarawak – Miri serta Bintulu.