KONFEDERASI Berbasikal Asia (ACC) menandatangani perjanjian penajaan selama empat tahun bersama jenama pakaian sukan, iSports, yang kini menjadi penaja rasmi jersi kejohanan ACC bagi tempoh 2025 hingga 2029.

Perjanjian bernilai AS$70,000 (kira-kira RM309,070.76) itu merangkumi pembekalan jersi rasmi Juara Asia serta kelengkapan pakaian yang akan digunakan dalam kejohanan-kejohanan ACC di seluruh benua Asia.

Presiden ACC, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kerjasama tersebut selaras dengan visi ACC untuk meningkatkan lagi standard sukan berbasikal di Asia, di samping menjadi detik membanggakan buat Malaysia sebagai antara pemain utama pembangunan sukan itu di rantau ini.

“Sebagai Presiden PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia), saya melihat kerjasama ini sebagai satu peluang bernilai untuk memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam arena berbasikal Asia,” kata Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu berlangsung di ibu negara.

“Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan antarabangsa, malah kini muncul sebagai hab strategik bagi pembangunan sukan berbasikal di rantau ini. Perjanjian ini mencerminkan kesatuan serantau dan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam sukan ini.”

Menurut Amarjit, iSports merupakan jenama terkemuka dalam pengeluaran pakaian sukan dan telah menjadi pilihan utama beberapa pasukan elit seperti Terengganu Cycling Team (TSG) serta pasukan kebangsaan Malaysia.

Kerjasama ini dijangka bukan sahaja memberikan impak dari segi imej dan profesionalisme penganjuran kejohanan di Asia, malah membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama strategik antara negara-negara Asia dalam membangunkan bakat baharu serta memperkukuh ekosistem berbasikal benua ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung ACC Kozim Urinboykhujaev berharap, jersi berkualiti dan cantik rekaan iSports ini, dapat memberi kepuasan kepada pemenang kejohanan di bawah ACC.

“Sebelum ini, ramai pelumba yang mendapat jersi kemenangan enggan menggunakannya kerana rekaan tidak memuaskan hati dari segi rekaan.

“Saya sangat berpuashati dengan rekaan kali ini,” kata Kozim.