MISTERI masa depan jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal terjawab Sabtu ini.

Teka-teki mengenainya dijangka diumumkan dalam satu sidang media khas melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan berlangsung Sabtu ini, sekali gus dijangka menjadi penamat kepada segala spekulasi.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, beliau enggan memberi sebarang jawapan dan memberi bayangan bahawa segala persoalan akan dijawab sendiri oleh pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu dalam tempoh 48 jam.

“Saya tak mahu komen hari ini. Tapi sidang media akan diadakan Sabtu ini, jam 4.30 petang bersama YB Menteri, MSN, PKBM dan Azizulhasni,” kata Amarjit, ditemui selepas Majlis Menandatangani Penajaan Jersi Rasmi Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dengan iSports wear di Kuala Lumpur.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill

Difahamkan, keputusan yang bakal diumumkan Azizulhasni telah pun mendapat restu penuh PKBM dan dianggap sebagai penyelesaian paling ideal buat semua pihak.

“Saya sokong keputusan Azizul sepenuhnya. Dia dah beri terlalu banyak untuk negara,” tambah Amarjit.

Nama pelumba berusia 37 tahun itu menjadi tumpuan selepas tidak disenaraikan dalam kelompok terkini atlet dalam Program Road to Gold (RTG), menimbulkan pelbagai andaian, termasuk kemungkinan beliau tidak akan memburu tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill ditemui selepas Majlis Menandatangani Penajaan Jersi Rasmi Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dengan iSports wear di Kuala Lumpur.

Selepas pulang dengan kekecewaan di Paris 2024 pada Ogos lalu, Azizulhasni memberi bayangan untuk bersara, namun dipujuk oleh beberapa pihak termasuk jurulatih, John Beasley dan rakan sepasukan yang mahu beliau meneruskan kariernya.

Apakah Azizulhasni bakal mengundurkan diri? Atau wujud haluan baharu yang bakal mencorak semula peta kariernya?

Sabtu bakal menjadi saksi. Dan mungkin, juga penentu.