KETUA jurulatih Cebu FC, Mustafa Ati Goksu percaya pasukannya mampu mencipta kejutan apabila menghadapi Selangor FC  dalam pertembungan Liga Juara-Juara AFC  (ACL) 2 2024-25 malam esok.

Dia mengakui bahawa ia bukan tugasan yang mudah tatkala pasukan Merah Kuning beraksi di laman sendiri.

Namun, jurulatih yang berasal dari Turkiye itu sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan diberikan oleh anak buah Nidzam Jamil.

Ketua Jurulatih Cebu FC, Mustafa Ati Goksu

“Sudah tentu ini padang baru buat kita, persekitaran baru dan kita bermain di gelanggang lawan.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, pasukan sudah melakukan persiapan yang baik. Kita bersedia untuk perlawanan ini, kita tahu siapa lawan yang bakal dihadapi.

“Ya, ia bukan satu perlawanan yang mudah. Tapi itu sesuatu yang kita perlu lakukan jika ingin melepasi peringkat kumpulan. Dan sekali lagi, kita perlu cuba menang untuk mendapatkannya,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan Selangor FC-Cebu FC pada Rabu.

Cebu FC tewas dalam aksi pertama Liga Juara-Juara AFC 2 kepada pasukan Korea Selatan, Jeounbuk Hyundai Motors dan mereka pasti mahu ingin mendapatkan sesuatu daripada perlawanan esok menentang Gergasi Merah.

Selangor FC bakal turun sebagai tuan rumah untuk menentang Cebu FC dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC  (ACL) 2 2024-25 di Stadium MBPJ jam 8 malam.