PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid meluahkan rasa kecewa selepas gagal mendapat sebarang peluang jaringan gol ketika aksi bertemu Kawasaki Frontale dalam saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Pada pertembungan kedua aksi bertemu kelab gergasi Jepun itu di Stadium Sultan Ibrahim, JDT terpaksa akur dengan kekalahan besar 0-5 selepas terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Khamis lalu.

Safawi,25, yang berada dalam barisan utama pada aksi ini mengakui perasaan tidak berpuas hati akan timbul jika pasukan sendiri tewas.

“Bagi kami, mana-mana pasukan kalau kalah, tentulah tidak berpuas hati namun kami akan lebih fokus pada perlawanan menentang Guangzhou.

“Prestasi saya masih belum pada tahap terbaik kerana masih belum dapat menjaringkan gol pada perlawanan malam ini.

Barisan pemain utama JDT ketika menentang Kawasaki Frontale (aksi kedua) di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

“Bola sepak macam-macam boleh berlaku, tapi bukan rezeki kami, kita just move forward untuk perlawanan seterusnya.

“Berlatih bersungguh-sungguh dan tambah keyakinan serta mencipta peluang untuk pasukan dan lebih penting adalah jaringan,” ujar Safawi selepas perlawanan.

Untuk rekod JDT kini menghuni tangga kedua dengan tujuh mata setelah dipintas Kawasaki Frontale yang mengungguli kumpulan ini dengan lapan mata.

JDT dijadualkan bertemu Guangzhou pada 27 April, sebelum mengakhiri  saingan terakhir kumpulan bertemu Ulsan Hyundai pada 30 April ini.