JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kembali melakar sejarah apabila menundukkan kelab terbaik di Liga Korea, Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan keempat Kumpulan I dalam saingan Liga Juara-juara AFC 2023.

Kejayaan itu sekali gus menandakan JDT telah menyamakan enam mata dengan Ulsan Hyundai tetapi pihak lawan memiliki kelebihan yang sedikit lebih sejurus mengekalkan mereka untuk berada di tangga kedua carta liga.

Turun dengan semangat yang tinggi untuk menumpaskan Ulsan Hyundai, JDT telah mencuba untuk beri ancaman pada kubu Ulsan seawal minit kedua permainan menerusi pemain tengah, Bergson Da Silva.

Cubaan yang gagal dilakukan itu tidak mematahkan semangat pemain dan asakan bertubi-tubi masih dilakukan oleh wira JDT namun sayangnya penyudah yang tidak baik apabila bola terkena palang gol Ulsan.

Tepat pada minit ke-25 perlawanan, dilihat skuad Harimau Selatan itu mempunyai kelebihan yang lebih dari segi mendominasi permainan yang sengit itu.

Penantian yang pahit buat JDT apabila sepakan percuma yang diambil oleh Fernando Forestieri pada minit ke-29 melepasi pertahanan Ulsan tetapi tidak memasuki ke gawang gol mereka.

Akhirnya pada minit ke-44 perlawanan, Stadium Sultan Ibrahim bergema dengan sorakkan penonton apabila sepakan Heberty De Andrade berjaya melewati penjaga gol Ulsan, Jo Hyeonwoo sekali gus menyempurnakan jaringan pertama buat JDT.

Keputusan 1-0 yang berakhir pada babak pertama jelas telah memberi dorongan buat anak buah Esteban Solari untuk meraih dua mata seterusnya dalam perlawanan separuh masa kedua.

Selesai tempoh rehat 15 minit, JDT kembali meneruskan ancaman terhadap pasukan Ulsan dengan sepakan percuma yang diambil oleh Heberty tetapi tidak dapat dilunaskan dengan baik oleh Bergson di depan gawang gol pihak lawan.

Detik malang buat JDT apabila kegembiraan dalam mendahului perlawanan kali ini dipatahkan oleh jaringan pertama Ulsan yang dibuat menerusi Ataru Esaka pada minit ke-68 perlawanan.

Semangat yang tidak henti ditonjolkan oleh pemain JDT dan 19,684 penyokong di SSI terus menghangatkan suasana sebagai tanda sokongan terhadap pasukan kegemarannya.

Kebangkitan luar biasa apabila pemain tengah JDT yang baru dimasukkan, Akhyar Rasyid berjaya mencetak gol kedua buat JDT pada minit ke-87 perlawanan sejurus memberi keputusan 2-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Teruja apabila JDT sah menundukkan Ulsan sekali lagi di halaman sendiri sekaligus membuka peluang untuk menempatkan JDT ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Liga AFC.