PENGENDALI pasukan Ulsan Hyundai, Hong Myong-Bo menyifatkan perlawanan keempat Liga Juara-juara AFC (ACL) ini sebagai satu detik yang mendebarkan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merampas semula mata daripada mereka.

Menurut Myong-Bo, dia tidak begitu panik terhadap jaringan pertama JDT kerana percaya bahawa anak buahnya mampu membalas dendam selepas dikecewakan dengan jaringan Heberty De Andrade.

Namun, secara realitinya keyakinan yang dimiliki oleh ketua jurulatih itu gagal disempurnakan apabila keputusan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim tidak berpihak kepada mereka.

“Kami mengakui kesilapan yang dilakukan sehingga kalah dalam perlawanan ini, tetapi kami telah menunjukkan persembahan yang terbaik malam ini.

“Bermain di stadium pihak lawan (SSI), kita telah berusaha sehabis mungkin tetapi tuah tetap tidak berpihak buat Ulsan hari ini.

“Saya tetap berterima kasih dengan semua pemain kerana beberapa cubaan terbaik telah dihasilkan dalam perlawanan yang sengit hari ini.

“Secara keseluruhan, saya gembira melihat aksi perlawanan hari ini dengan JDT memberi tentangan yang cukup sengit di khalayak penyokong-penyokong mereka,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Myong-Bo turut menyatakan bahawa kehilangan dua pemain utamanya juga merupakan satu faktor penting bagi juara ACL tahun 2020 itu tidak beraksi dengan begitu baik di stadium gah milik Johor ini.

“Namun, kami dapat buktikan dengan ketiadaan mereka juga kami mampu mendapatkan beberapa peluang terbaik di hadapan gawang gol milik JDT,” tambahnya.