KEMENANGAN besar Selangor FC 4-0 ke atas Dynamic Herb Cebu tidak membawa erti apabila tersingkir dari kejohanan selepas Muangthong United berjaya menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors sekaligus menafikan peluang Gergasi Merah ke peringkat 16 terbaik.
Selangor memerlukan kemenangan disamping memerlukan keputusan negatif di Bangkok namun suratan sudah tertulis tidak ada rezeki buat anak-anak buah Katsuhito Kinoshi untuk ke pusingan seterusnya.
Ketika Selangor FC meraikan jaringan pembukaan Yohandry Orozco pada minit ke-44 perlawanan, berita buruk dari Bangkok hadir apabila Muangthong United juga menjaringkan gol pada masa yang sama sekaligus kembali menyukarkan peluang untuk layak.
Orozco menambah satu lagi gol pada babak kedua sebelum Noaa Laine dan Alvin Fortes melengkapkan kemenangan bergaya Selangor namun ianya tidak cukup kerana Muangthong United berjaya mengekalkan kelebihan satu gol untuk menempah tempat ke pusingan 16.
Penjaring dua gol itu mengakui ianya perlawanan dan jumpa kempen yang sukar buat Selangor namun dia gembira dengan prestasinya dan menganggap kekalahan kepada kelab Thailand di laman sendiri minggu lalu menjadi punca mereka tersingkir.
“Ianya adalah perlawanan yang sukar di atas padang ini namun kami berjaya bermain sebagai satu pasukan dan memberikan kemenangan namun tidak cukup untuk layak.
“Secara keseluruhan, enam perlawanan di ACL2 ini sangat sukar dan kekalahan kepada Muangthong minggu lalu jadi sebab mengapa kita berada dalam situasi sukar seperti ini tetapi kita akan kembali dengan bangga ke Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Berakhir peringkat kumpulan, Selangor berada di tangga ketiga dengan 10 mata manakala Jeonbuk Hyundai Motors muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata, Muangthong United kedua dengan 11 mata dan Dynamic Herb Cebu keempat dengan hanya satu mata.