PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tidak memberitahu para pemainnya tentang keputusan aksi antara Muangthong United dan Jeonbuk Hyundai Motors ketika rehat separuh masa kerana mahu mereka kekal fokus dalam mencari kemenangan ketika berhadapan Dynamic Herb Cebu.
Hasilnya Selangor FC berjaya mencatat kemenangan 4-0 yang juga kemenangan sulung Kinoshi bersama Gergasi Merah namun ianya tidak cukup untuk layak ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara AFC 2 selepas sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga.
Selangor mengharapkan Muangthong United tewas kepada Jeonbuk Hyundai Motors di Bangkok namun wakil Thailand itu berjaya mencatat kemenangan 1-0 sekaligus mengiringi kelab Republik Korea itu ke pusingan 16 terbaik.
“Pemain tidak tahu keputusan perlawanan di Bangkok pada waktu rehat dan mereka hanya diberikan motivasi untuk terus fokus kepada perlawanan ini. Saya beritahu mereka, kita perlu layak dan tidak peduli tentang perlawanan satu lagi dan hanya tunjukkan cara permainan kami.
“Ini adalah misi kami ke Manila dan berjaya mencapainya. Saya gembira dan bangga dengan pemain dengan cara persembahan mereka tetapi malangnya kami tidak layak, namun apa yang penting pemain perlu dan terus lakukan perkara seperti ini dalam setiap perlawanan.
“Kami gagal layak sebab Muangthong menang ke atas Jeonbuk tetapi ini berpunca dari kami yang tidak menang pada perlawanan sebelum ini namun kami masih mempunyai motivasi untuk bermain bola sepak dan kini kembali sasarkan persembahan lebih baik di Liga Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dua gol daripada Yohandry Orozco dan masing-masing satu dari Noaa Laine dan Alvin Fortes belum cukup untuk membantu Selangor memintas Muangthong dan kini akan kembali fokus kepada saingan Liga Malaysia.
Kinoshi juga menjelaskan dia dan para pemain bertemu para penyokong selepas permainan dan mereka masih tetap setia menyokong meskipun tidak layak ke peringkat seterusnya.
“Selepas perlawanan, kami berjumpa penyokong dan mereka memberikan kata-kata yang baik buat kami dan kami perlu terima keputusan ini kerana ianya tidak boleh diubah,” jelasnya.
Selepas berakhir enam perlawanan kumpulan, Selangor di tangga ketiga mengumpul 10 mata dipisahkan satu mata dari Muangthong United dengan 11 mata manakala Jeonbuk Hyundai Motors menjuarai Kumpulan H dengan 12 mata.