Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memperbaiki pendekatan sejak awal permainan apabila turun menentang Ratchaburi FC dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) malam ini, dengan Xisco Munoz memberi amaran agar kesilapan terdahulu tidak berulang.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menjangkakan Ratchaburi bakal tampil dengan intensiti tinggi memandangkan pertemuan berkenaan membawa kepentingan besar kepada pasukan tuan rumah dalam usaha mereka memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Xisco melihat lawan berkenaan mempunyai segala sebab untuk tampil habis-habisan, malah kemungkinan menjadikan pertemuan dengan Harimau Selatan sebagai aksi penentuan yang tidak boleh dilepaskan.
“Ratchaburi akan turun dengan misi menganggap aksi ini seperti satu perlawanan akhir kerana mereka hanya mempunyai satu peluang untuk meraih keputusan positif dan membuka laluan ke pusingan seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, fokus utama Xisco adalah memastikan JDT tidak lagi terperangkap dengan permulaan hambar seperti ketika berdepan CAHN sebelum ini, yang menyaksikan mereka gagal mengelakkan kesilapan pada fasa awal permainan.
Beliau mahu pemain meningkatkan keberanian, disiplin dan intensiti sebaik sahaja perlawanan bermula, selain memastikan pasukan tidak mengambil masa terlalu lama untuk menemukan rentak permainan.
“Penting untuk kami memulakan perlawanan dengan kekuatan penuh dan pendekatan lebih agresif kerana kami tidak boleh mengulangi kesilapan seperti perlawanan terakhir menentang CAHN, khususnya pada minit-minit awal.
“Pemain mungkin melakukan kesilapan, tetapi kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama sebanyak dua kali,” jelasnya.
Xisco turut menuntut JDT lebih bijak mengurus tempo perlawanan, menguasai situasi di atas padang serta memaksimumkan setiap peluang yang hadir, terutama dalam pertandingan yang menuntut ketajaman di depan gawang.
Katanya, dalam saingan elit seperti ACLE, peluang kecil sekalipun perlu ditukar menjadi jaringan kerana kegagalan memanfaatkannya boleh memberi kesan besar terhadap keputusan akhir.
“Dalam saingan Liga Juara-Juara, apabila mendapat walaupun separuh peluang, kita perlu mempunyai kemampuan untuk menyudahkannya menjadi gol.
“Kami perlu kekal fokus sepanjang perlawanan dan tidak boleh membiarkan 20 atau 50 minit berlalu tanpa mempamerkan tahap permainan terbaik,” katanya.
JDT kini dituntut memberikan respons lebih meyakinkan dengan permainan agresif sejak awal, penyudah lebih klinikal serta konsistensi sepanjang 90 minit bagi menghadapi cabaran Ratchaburi yang dijangka tidak memberi ruang mudah kepada skuad Harimau Selatan.